Nama Guan Eng timbul selepas kes Gnanaraja disiasat - Saksi

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) mengaku di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bahawa nama Lim Guan Eng hanya ditimbulkan selepas lebih setahun kes rasuah membabitkan seorang ahli perniagaan di Shah Alam, disiasat.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, berkata demikian ketika prosiding mencabar kredibilitinya yang didakwa wujud percanggahan dalam kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Ditanya peguam, RSN Rayer yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Zarul Ahmad berkata, dia dipanggil SPRM untuk memberi keterangan pada 19 dan 20 Januari, 9 Mac serta 5 September 2018.

Menurutnya, pada 19 Januari, dia ditahan selama dua hingga tiga jam, manakala pada 20 Januari (14 jam), 9 Mac (12 jam) dan 5 September 2018 (bermula jam 11 pagi).

Rayer: Ketika rakaman percakapan pada tarikh itu, keterangan Datuk ialah, wang RM19 juta diberikan kepada seorang ahli perniagaan, dikenali Gnanaraja, untuk Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zarul Ahmad: Ya.

Rayer: Tiada langsung nama Pengerusi DAP ini ditimbulkan?

Zarul Ahmad: Tiada.

Artikel Berkaitan:

Rayer: Hanya selepas setahun 11 bulan (bermula 19 Januari 2018), barulah Datuk timbulkan nama Guan Eng buat kali pertama, dalam keterangan kepada SPRM pada 9 Disember 2019.

Zarul Ahmad: Ya.

Rayer: Satu-satunya perjelasan Datuk berbuat demikian, kerana keterangan Ibrahim (bekas pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Ibrahim Sahari).

Zarul Ahmad: Ya, selepas saya baca keterangannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Menurutnya, Mahkamah Sesyen Shah Alam memintanya hadir ke mahkamah bagi kes rasuah membabitkan Gnanaraja namun tidak dipanggil memberi keterangan dari kandang saksi.

Ahli perniagaan itu berkata, susulan situasi yang dihadapi, termasuklah hal perniagaan, dia mengalami penyakit anxiety (kegelisahan).

Katanya, masalah sama juga timbul selepas ditahan reman oleh SPRM selama 11 hari berhubung siasatan kes terowong di Pulau Pinang.

“Tidak perlu cerita kepada rakan-rakan saya, kerana mereka juga mengetahuinya memandangkan saya tidak keluar dari rumah selama dua bulan.

“Saya sememangnya sudah lama ada penyakit itu,” katanya yang turut mengakui keadaan yang dihadapi telah memudaratkan kesihatannya.

Bagaimanapun, Zarul Ahmad berkata, pihak SPRM tidak pernah memintanya untuk mengisytiharkan harta atau menyerahkan sebarang dokumen di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadapnya termasuklah menyita harta.

Pada 2 November tahun lepas, Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Guan Eng untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad setelah mendapati wujud percanggahan dalam kenyataan saksi itu kepada SPRM dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mahadi Abdul Jumaat.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan bersambung 1 April depan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!