Rahsia meraih rezeki yang luas
Amalan berpandukan saranan al-Quran, hadis sekali gus gapai reda ILAHI
BERBICARA berkenaan rezeki, maka kita boleh simpulkan bahawa ia merangkumi pelbagai perkara dalam kehidupan termasuk kekayaan, kesihatan, pemakanan, kecerdasan, sumber, masa dan juga kehidupan itu sendiri.
Semua perkara ini boleh disebutkan sebagai rezeki yang telah ALLAH SWT berikan kepada kita.
Meskipun berlainan kadar dan ketikanya antara satu individu dengan individu yang lain, sebagai umat Islam, kita wajib percaya bahawa ALLAH bersifat dengan sifat Ar-Razzaq iaitu MAHA PEMBERI REZEKI.
Kita juga wajib imani bahawa segala yang kita miliki adalah kurniaan daripada-NYA, baik rezeki yang melimpah-ruah dengan kadar yang banyak mahupun yang sedikit, sama ada rezeki yang disegerakan pemberiannya mahupun yang diberikan lambat.
Tips, rahsia rezeki luas
Berikut adalah beberapa tips dan rahsia bagi meluaskan perolehan rezeki yang diekstrak dan dirumuskan dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW untuk sama-sama kita amalkan.
1) Tingkatkan ketakwaan
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (Surah at-Talaq: 2-3)
Ayat ini merupakan janji ALLAH yang telah termeterai di dalam al-Quran.
Ia datang dengan petunjuk bahawa mereka yang sentiasa bertakwa kepada ALLAH pada waktu susah dan senang mereka, maka ALLAH akan membuka baginya jalan keluar daripada apa sahaja masalah yang dia hadapi.
Dengan meningkatkan ketakwaan kita kepada ALLAH dan berpegang teguh dengannya, ALLAH pasti akan membuka pintu rezeki-NYA kepada kita dari jalan-jalan yang kita tidak sangka.
Yakinlah dengan janji ALLAH, kerana janji ALLAH itu sentiasa benar.
2) Bertawakal kepada ALLAH
“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka cukuplah ALLAH baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ALLAH tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-NYA. ALLAH telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq: 3)
Tawakal adalah kata serapan Bahasa Arab yang diambil dari kata asalnya iaitu tawakkul yang bermaksud menyerah diri secara penuh kepada ALLAH.
Ia merupakan sebuah manifestasi kehambaan kita kepada ALLAH iaitu menyerahkan segala urusan kita bulat-bulat kepada ALLAH, dengan syarat kita telah berusaha sedaya upaya kita dalam menyempurnakan urusan tersebut.
Tawakal memerlukan kita tetap yakin bahawa ALLAH akan memberikan yang terbaik untuk kita, walaupun dalam waktu kesukaran dan ujian yang sangat dahsyat.
3) Perbanyakkan syukur
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-KU kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-KU amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)
Bersyukur merupakan sebuah amalan yang sangat ringan di mulut tetapi ia terlalu sukar untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita.
Syukur juga merupakan bentuk manifestasi kehambaan kita kepada ALLAH yang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terkira banyaknya.
Bersyukurlah di atas apa sahaja yang ALLAH telah berikan kepada kita, tidak kira betapa kecil atau besar pemberian tersebut.
Lihatlah dan hitunglah segala nikmat dan rezeki yang telah ALLAH kurniakan kepada kita dan bersyukurlah kepada ALLAH di atas setiap perkara tersebut.
Jadikan amalan bersyukur sebagai sebahagian daripada rutin harian kita, nescaya ALLAH akan menambahkan kurniaan rezeki-Nya kepada kita berkali-kali ganda.
4) Perbanyakkan istighfar, memohon taubat
Rahsia seterusnya diekstrak daripada nasihat Nabi Nuh kepada umatnya seperti dirakamkan ALLAH dalam Surah Nuh ayat sepuluh hingga 12.
Nabi Nuh memberitahu kaumnya bahawa jika mereka beristighfar dan memohon taubat kepada ALLAH di atas segala kesalahan yang telah mereka lakukan, ALLAH akan menambahkan bagi mereka rezeki dari pelbagai jalan.
Sebagai insan yang penuh dosa dan noda, maka amallah istighfar. Moga-moga dengan istighfar dan taubat kita, ALLAH luaskan rezeki kita dari pelbagai arah dan sumber.
5) Hubungkan tali silaturahim
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezeki baginya dan dipanjangkan umur baginya, hendaklah dia menyambung tali silaturahim.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Para ulama bersepakat bahawa hadis ini perlu difahami dengan makna zahirnya, iaitu apabila tali silaturahim disambung dan dihubungkan, maka ALLAH akan meluaskan rezekinya dan ALLAH juga akan memanjangkan umurnya.
Sebagai kesimpulan, kita perlu sentiasa sedar bahawa di dalam kehidupan kita ini, tidak ada yang lebih penting bagi kita melainkan menggapai keredaan ALLAH.
Banyaknya rezeki seseorang tidak menjamin dia akan mendapat reda ALLAH SWT dan sebaliknya.
MOHAMMAD BAIHAQI MD YUSNAN
Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!