Terbeli ayam golek berbau, ada kesan darah
KLANG - Hasrat empat sekeluarga menikmati juadah berbuka terbantut apabila ayam golek dibeli di sebuah kedai makan di daerah ini didakwa sudah berbau busuk.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 45, berkata, juadah itu dibeli anak sulungnya berusia 20 tahun kira-kira jam 6.30 petang pada Khamis.
Bagaimanapun menurutnya, mereka sekeluarga yang ingin menikmati lauk berkenaan menyedari makanan itu tercemar sewaktu berbuka puasa.
"Mulanya rasa tak sedap hati kerana terhidu bau kurang menyenangkan dan sebaik berbuka, saya terkejut apabila ayam berasa masam dan masih mempunyai kesan darah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Siti memberitahu, sebelum ini beliau pernah membeli ayam golek di kedai makan sama pada tahun, namun tidak pernah berlaku kejadian seperti itu.
"Sepatutnya peniaga lebih peka dan jujur soal kualiti makanan yang dijual, apatah lagi sudah berniaga lama," ujarnya yang membeli ayam golek itu pada harga RM26 seekor.
Katanya, kejadian itu diharap tidak kembali berulang kepada pelanggan lain kerana ia boleh menyebabkan keracunan makanan.
"Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi ayam mentah ini mudah dijangkiti bakteria jika terdedah terlalu lama dan tidak dimasak sempurna," jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!