Tiga remaja buat aksi 'wheelie' dicekup

Penunggang bersama motosikal yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut.
Penunggang bersama motosikal yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KUANTAN - Tiga remaja termasuk dua pelajar ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dengan aksi 'wheelie' di Jalan Pintasan Bukit Setongkol di sini.

Kedua-dua pelajar berusia 17 tahun dan pekerja kedai makan itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuantan di lokasi itu, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, operasi bermula jam 9 malam (Khamis) hingga jam 2 pagi Jumaat itu dijalankan berdasarkan aduan awam mengenai sekumpulan mat rempit yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di sekitar jalan tersebut.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya telah menahan tiga remaja lelaki bersama motosikal masing-masing kerana menunggang sambil melakukan aksi 'wheelie'.

Penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pintasan Bukit Setongkol menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Trafik Kuantan.
Penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pintasan Bukit Setongkol menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Trafik Kuantan.

"Aksi tunggangan seperti itu sangat berbahaya kepada diri mereka sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

"Ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya turut mengeluarkan 31 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan tujuh motosikal disita di bawah Sesyen 64 APJ 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran mencatatkan kes tertinggi dengan masing-masing lima kes diikuti kesalahan melibatkan lesen kenderaan motor (4), penunggang bawah umur (4), lesen memandu (3) dan cermin sisi (3).

"Kesalahan lain yang turut dikesan, tiada pelindungan insurans (4), ubah suai kenderaan (1), brek tidak berfungsi (1), ekzos (1) dan tidak menampal pelekat P atau L," ujarnya.

Beliau berkata, operasi selama lima jam itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!