Rakyat Taiwan mula mengundi hari ini
TAIPEI - Pilihan raya Taiwan bermula pada hari ini dan keputusan paling awal dijangka diketahui beberapa jam selepas pusat pengundian ditutup pada 4 petang, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA).
Terdapat lebih 19.31 juta pengundi berdaftar akan mengundi di 22 bandar dan daerah, hampir 70 peratus daripadanya datang dari enam majlis perbandaran khas iaitu Taipei, New Taipei, Taoyuan, Taichung, Tainan dan Kaohsiung, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC).
Seramai 1.18 juta pengundi berumur antara 20 hingga 23 tahun menyumbang sebanyak enam peratus undi dan pertama kali mengundi, kata CEC.
Sejumlah 17,226 pusat pengundian dibuka di seluruh Taiwan bermula 8 pagi hingga 4 petang.
Sejurus pusat pengundian ditutup, kertas undi akan dikira dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa pilihan raya Pusat dan tempatan.
Presiden, Tsai Ing-wen dari parti yang memerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) dicabar Han Kuo-yu dari parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT) dan James Soong, Pengerusi Parti People First (PFP).
Dalam Pilihan Raya Presiden 2016, Ing-wen menang mudah dengan mendapat 56.12 peratus undi berbanding Eric Chu dari KMT yang berkuasa ketika itu, hanya memperoleh 31.04 peratus dan James Soong 12.84 peratus.
Jumlah keluar mengundi sebanyak 66.27 peratus, terendah pernah dicatatkan dalam enam Pilihan Raya Presiden sejak 1996.
Dalam merebut kerusi Parlimen, DPP buat pertama kali meraih majoriti dengan memenangi 68 kerusi, KMT memperoleh 35 kerusi diikuti Parti New Power dengan lima kerusi dan Parti People First dua kerusi.
Tahun ini, seramai 650 calon dari 43 parti akan bersaing merebut 113 kerusi, menurut CEC.
Presiden baharu yang dipilih akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Mei manakala anggota Parlimen pada 1 Februari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!