Cuaca panas tidak jejas industri pelancongan Semporna

Keadaan cuaca panas dan kemarau di Sabah pada masa ini memberikan situasi berbeza bagi sektor pelancongan di pantai timur negeri ini dengan pemain pelancongan di Semporna tidak begitu terjejas. Gambar hiasan Bernama
Keadaan cuaca panas dan kemarau di Sabah pada masa ini memberikan situasi berbeza bagi sektor pelancongan di pantai timur negeri ini dengan pemain pelancongan di Semporna tidak begitu terjejas. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SEMPORNA - Keadaan cuaca panas dan kemarau di Sabah pada masa ini memberikan situasi berbeza bagi sektor pelancongan di pantai timur negeri ini dengan pemain pelancongan di Semporna tidak begitu terjejas, bagaimanapun situasi sebaliknya di Lahad Datu.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna, Kerino Jalani berkata, aktiviti pelancongan di daerah ini masih berjalan seperti biasa, malah cuaca panas sekitar 28 hingga 31 darjah Celsius menjadi daya tarikan kepada pelancong terutama dari negara yang mengalami musim sejuk ketika ini.

"Kehadiran pelancong dari dalam negeri agak kurang pada cuaca panas ini, tetapi pelancong luar negara terutama dari China bertambah kerana di negara mereka ketika ini musim sejuk.

"Kemasukan pelancong China ke Semporna ketika ini secara purata kira-kira 2,000 orang sehari dan tempahan di pusat penginapan atas air juga penuh," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Kerino yang memiliki pusat peranginan di Semporna bagaimanapun menasihati semua pemain industri pelancongan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak memandang enteng terhadap situasi cuaca panas.

"Pastikan ada air minum mencukupi disediakan (kepada pelancong) misalnya dalam bot, juga boleh nasihatkan kepada semua pelancong untuk minum air yang mencukupi supaya tidak dehidrasi, yang tidak sihat tidak perlu melakukan aktiviti di laut, selain itu semua pekerja juga kena jaga kesihatan," katanya.

Sementara itu di LAHAD DATU, pengusaha inap desa Pulau Buta Eco Tourism, Jessica Reyes pula berkata, cuaca panas menyebabkan pendapatan harian perniagaannya dan pemain pelancongan lain terjejas kerana kekurangan pengunjung.

"Kebiasaannya banyak tempahan diterima daripada pengunjung untuk bilik dan melakukan pelbagai aktiviti ekopelancongan seperti memancing, mendaki dan berkhemah, tetapi sekarang cuaca panas dan bulan puasa jadi pelancong berkurang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jessica turut berharap semua pihak mengambil langkah berjaga-berjaga dan tidak melakukan pembakaran terbuka yang dikhuatiri menjejaskan kualiti udara selain mengelak berlakunya kebakaran lebih teruk. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!