Malaysia kecam serangan udara Israel terhadap bantuan kemanusiaan Ops Ihsan di Gaza
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas kem Al-Nuseirat di Semenanjung Gaza pada 14 Mac, kata Kementerian Luar pada Jumaat.
Kementerian itu berkata, serangan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan lapan rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih 20 orang yang merupakan petugas.
Petugas itu sedang dalam persiapan untuk mengagihkan bekalan makanan yang amat diperlukan dan disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Ops Ihsan (gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan - NGO Malaysia).
"Tindakan keganasan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah ini jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Serangan terhadap penduduk Palestin ini juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk hidup dengan aman, selamat dan tenteram,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.
Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, mereka yang berada di kem itu adalah rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukan ancaman kepada rejim Israel, tetapi hanya menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka terhadap sesama penduduk Palestin.
"Kami dengan segera meminta masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dengan segera dan tegas, dan meminta rejim Israel supaya bertanggungjawab atas ketidakpedulian mereka secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan memastikan keselamatan rakyat Palestin.
"Keadilan mesti ditegakkan dan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang lagi. Solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin mesti diperluaskan bagi memastikan usaha mereka untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan hak mereka dapat direalisasikan," katanya.
Menurut Wisma Putra, Malaysia berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!