Kekal harga, biar semua dapat merasa
HARGA makanan di bazar Ramadan ketika ini didapati tidak banyak berubah dan masih sama seperti tahun lalu.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa bazar Ramadan di Pulau Pinang, Kedah, Johor, Kelantan dan Negeri Sembilan mendapati sebahagian peniaga mengakui tidak tergamak menaikkan harga jualan kerana menyedari ramai yang cuba berjimat ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
Rata-rata peniaga mengakui harga barangan naik namun tetap mengekalkan harga lama supaya pelanggan dapat membeli juadah berbuka dengan harga berpatutan.
KEPALA BATAS - Peniaga roti john di Bazar Ramadan Bertam Putra, di sini masih mengekalkan harga jualannya.
Bagi Mohd Noor Akmal Md Ali, dia masih mampu kekalkan harga sama seperti tahun lalu iaitu RM5 untuk sebungkus roti john walaupun terpaksa berdepan dengan kenaikan beberapa harga barang mentah seperti telur.
"Memang tak dinafikan ada barang yang naik harga tapi ada juga barang yang sama harga...Jadi saya fikir lebih baik saya kekalkan harga jualan seperti biasa," katanya.
Turut mengekalkan harga, peniaga air tebu, Nazirah Mohd Shukri yang menjual pati dengan harga RM5 sebungkus dan RM3 untuk yang biasa.
'Tak apa lah kalau untung sedikit pun asalkan masih ramai yang boleh merasa," ujarnya.
Di KULIM, Ahmad Tarmimi Othman, 42, yang berniaga martabak di bazar Ramadan Sedim mengekalkan martabak jualannya pada harga serendah RM3.
Dia yang sudah 14 tahun berniaga bersama isterinya, Siti Zaleha Ramli, 40 berkata, dia tidak berniat untuk menaikkan harga jualannya kerana kasihankan pelanggan tetapnya.
Ulasnya, walaupun harga dikekalkan, namun kualiti dan rasa martabak ayam dan daging masih sama seperti biasa.
Di ISKANDAR PUTERI pula, tinjauan di bazar Ramadan Nusa Perintis, Gelang Patah dan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai mendapati kebanyakan harga makanan yang dijual masih mengekalkan harga sama biarpun peniaga mendakwa berlaku kenaikan bagi barangan basah ketika ini.
Bagi peniaga roti john, Mohd Hazroi Jumat, 32, dia masih mengekalkan harga RM9 (bersaiz panjang) dan RM6 (bersaiz pendek).
Seorang lagi peniaga roti John, Shamsul Mohd Noh, 54, dia masih mengekalkan RM12 bagi roti John yang dijualnya.
“Tapi saya hanya jual roti john panjang sahaja dan harganya masih kekal RM12,” katanya.
Bagi peniaga tepung pelita, Johari Lasim, dia juga masih mengekalkan harga RM5 bagi lima biji kuih tepung pelita.
“Tak ada kenaikan bagi kuih tepung pelita...harga sama macam tahun lepas, sebab takut orang tak beli," ujarnya.
Peniaga ayam golek, Arafat Abd Rasyid, 36 masih menjual ayam golek pada harga RM28 seekor dan RM14 bagi setengah ekor ayam.
Malah katanya, ayam yang dijualnya juga bersaiz besar iaitu daripada saiz 1.5 hingga 1.8, saiz ayam dewasa.
Peniaga martabak, Rozial Ali, 54, berkata, harga martabak di gerainya tidak berubah sejak tahun lalu apabila ia dijual dengan RM8 bagi martabak ayam atau daging.
"Tidak berbaloi jika naikkan harga, sebab khuatir tidak ada yang datang membeli," luahnya.
Di KOTA BHARU, peniaga, Mohd Fazran Mohd Salleh, 40, menjual nasi beriani ayam dan lembu dengan harga RM10 manakala kambing RM15 sebungkus sejak tiga tahun lalu.
Malah, dia turut mengekalkan kuantiti nasi dan saiz lauk yang sama seperti tahun lalu dengan harga lama tersebut.
“Kami kasihan dekat pembeli kerana ada yang tetap dan pernah sekali kami naikkan RM1 ringgit pun mereka dan merungut,” jelasnya.
Seorang lagi peniaga, Nur Asmak Makhtar, 52, turut mengekalkan harga 50 jenis kuih-muih yang dijualnya seperti jala mas, bunga tanjung, popia sira, kuih topi dan pelbagai jenis agar-agar tahun ini seperti tahun lalu.
“Agar-agar masih lagi tiga ketul RM2, akok enam biji RM5, jala mas enam keping RM10 dan bunga tanjung 20 biji RM5.
“Hanya kuih nekbat sahaja naik harga RM3 untuk empat biji berbanding tiga biji RM2 kerana harga modal nekbat mentah naik dari RM25 (100 biji) kepada RM30 (100 biji),” katanya.
Di JEMPOL pula kebanyakan harga roti john di beberapa bazar Ramadan di daerah ini ditawarkan dengan harga antara RM7 hingga RM8.
Peniaga, Abdul Razif Sulaiman, 39, berkata, dia masih mengekalkan harga roti john yang dijualnya dengan harga RM7 sama dengan tahun lalu.
"Saya akui tidak terkesan dengan kenaikan harga barang dan memahami keadaan ekonomi semasa, tambahan saya tidak mahu membebankan pembeli sebab mereka nak rasa merasai roti john," katanya yang berniaga di Mini Bazar Ramadan di Pintu Gerbang Lonek, di sini.
Bagi Farizah Jaafar, 42, yang berniaga di Bazar Ramadan Felda Palong 7&8 berkata, menjual roti john dengan harga RM8 dengan mengambil kira sewa tapak niaga dan harga bahan mentah yang naik.
Sementara itu tinjauan di dua bazar Ramadan di Seremban menunjukkan harga ayam golek tidak berubah iaitu RM20 seekor dengan alasan harga tersebut dijual oleh kebanyakan peniaga di situ tanpa sebarang kenaikan.
Begitu juga dengan harga martabak ayam dan daging RM5 tidak berubah termasuklah tepung pelita, manakala nasi tomato RM6.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!