Gagal seludup 2,940kg ikan bawal ke Singapura
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan dilakukan di laluan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor Bahru (KSAB) pada jam 12.30 tengah hari itu mendapati pemandu lori terbabit membawa muatan tanpa permit eksport ke Singapura.
"Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa 127 kotak berisi muatan ikan bawal hitam sejuk beku dan 167 kotak berisi muatan ikan bawal putih sejuk beku.
“Setiap kotak seberat 10 kilogram dengan berat keseluruhan sebanyak 2,940kg bernilai RM106,427," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua barang dagangan itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, ” katanya.
Nur Afifah berkata, buat masa ini, sekatan sementara terhadap pengeksportan ikan bawal hitam dan putih telah dilaksanakan.
"Namun begitu, pengecualian sekatan telah diberikan bagi spesis ikan bawal emas.
"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!