Sukar eksploitasi pindaan perlembagaan kewarganegaraan
SHAH ALAM - Peluang pasangan warga asing yang melahirkan anak di negara ini untuk mengeksploitasi pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan berkemungkinan sukar dilakukan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana cadangan pindaan Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara itu memfokuskan kepada ibu atau bapa warganegara Malaysia.
Malah katanya, pindaan yang bakal dibuat itu juga diyakini bukan dilaksanakan secara automatik tetapi bersandarkan budi bicara kerajaan atau menteri bertanggungjawab.
"Kalau dalam konteks sama ada boleh dieksploitasi oleh pasangan warga asing yang bekerja di Malaysia atau tidak, saya rasa di situ pentingnya untuk melihat pelaksanaannya secara automatik atau sebaliknya.
"Jika kewarganegaraan tidak dibuat secara automatik saya rasa tidak mungkin eksploitasi oleh pasangan warga asing boleh berlaku kerana tentunya menteri akan melihat kepada keseluruhan aspek permohonan," katanya kepada Sinar Harian.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan hasrat meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan jaminan kewarganegaraan, yang dilihat dieksploitasi oleh warga asing.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap dalam Dewan Rakyat pada Isnin berkata, warga asing yang datang ke Malaysia, melahirkan anak kemudian meninggalkan bayi mereka kerana mengetahui akan dijamin kewarganegaraan mengikut Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan.
Susulan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Rabu menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen menyatakan bantahannya terhadap cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan untuk kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia, memetik kebimbangan berlaku pelanggaran hak asasi manusia.
Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pindaan ini boleh secara tidak adil menjejaskan kanak-kanak yang selama ini dinafikan kewarganegaraan.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, kemungkinan pindaan itu boleh dieksploitasi hanya wujud sekiranya ada kelompongan.
Namun katanya, kerajaan perlu mempertimbang atau meneliti sebarang perkara berbangkit mengenai isu tersebut sebelum membuat pindaan.
"Bagaimanapun secara keseluruhan saya melihat cadangan pindaan ini dibuat sebenarnya untuk melindungi kanak-kanak melalui perkahwinan antara wanita Malaysia dengan lelaki warga asing sama ada di dalam atau luar negara yang belum memiliki status kewarganegaraan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!