Budak 4 tahun terpaksa dicabut semua gigi
SHAH ALAM - Ibu mana tidak sayangkan anak, lebih-lebih jika melihat kesayangan itu tidak sihat mahupun sakit pasti tak keruanlah hatinya.
Seperti dilalui seorang wanita, Nurul Aida Afifa Abdullah, 38, yang berdepan detik mendebarkan apabila semua 20 batang gigi anak ketiganya terpaksa dicabut setelah disahkan doktor mengalami kerosakan teruk.
Menurut Nurul Aida Afifa, keputusan tersebut perlu dibuat kerana mengikut nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang komplikasi lain terjadi kepada anak perempuannya.
Ujarnya, dia menyedari keadaan gigi anak bongsunya, Cempaka Aulia Mohd Syafiq Nuzudin, 4, semakin teruk apabila kelihatan ia rapuh dan setiap hari si kecil itu mengadu sakit.
"Anak saya lahir menyusu badan tidak lama, lepas itu saya buat keputusan untuk memberi susu formula. Selama menyusu, anak saya kurang makan makanan seperti nasi, mi dan sebagainya. Makanan ringan dan coklat pun makan tapi hanya kadang-kadang, namun gosok gigi memang tak pernah lupa.
"Saya tengok gigi anak semakin hari semakin rapuh sejak September tahun lalu, giginya yang depan semua hampir tidak ada hanya tinggal tunggul. Bila anak mengadu sakit, saya terus bawa ke klinik swasta. Doktor cek gigi geraham sudah berlubang.
"Kata doktor, giginya tidak sesuai untuk membuat rawatan akar kerana dia masih kecil. Untuk melalui proses mencabut satu persatu akan membuatkannya trauma. Jadi doktor hanya membuat sapuan fluorida sahaja dan dalam masa yang sama kena pantau sentiasa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ceritanya lanjut, pada suatu hari dia melihat muka anaknya menjadi bengkak lalu dibawa ke klinik berdekatan namun doktor menasihatkan untuk terus ke hospital.
Apa yang sangat mengejutkan, ujar wanita itu doktor di hospital tersebut mengesahkan gusi anaknya telah bernanah dan perlu melakukan pembedahan segera.
"Apabila doktor sahkan gusinya sudah bernanah, tiada pilihan lain selain mencabut kesemua gigi melalui pembedahan. Pada mulanya saya tidak bersetuju kerana kesian, namun setiap hari dia mengalami sakit, demam dan tiada selera makan barulah saya nekad untuk meneruskan proses berkenaan.
"Sebelum pembedahan dilakukan, anak saya perlu menghabiskan ubat antibiotik dan berhenti dengan serta-merta susu formula.
"Alhamdulillah pembedahan selama dua jam dilakukan pada 18 Februari lalu berjaya, habis semua giginya 20 batang telah tiada. Semoga proses pertumbuhan gigi barunya cepat dan dipermudahkan urusan anak saya selepas ini," ujarnya.
Pesan Nurul Aida Afifa buat ibu bapa di luar sana supaya jangan pandang remeh apabila anak mengadu sakit gigi.
Katanya, sentiasalah pantau pemakanan anak-anak dan paling penting gigi perlu digosok sebaiknya bagi menjaga kesihatan dalam mulut.
"Ini perkongsian saya apa yang berlaku, disebabkan susu formula anak saya kehilagan semua gigi pada usia muda. Bab susu ini memang sensitif ramai ibu bapa tak setuju sebab anak mereka okey sahaja. Tak semestinya tak baik untuk anak saya, baik untuk orang lain dan begitulah sebaliknya.
"Mak ayah usah pandang remeh bila anak dah mula sakit gigi. Bila sudah kena buang 20 batang gigi siapa yang salah, mestilah mak ayah bukan? Mak-mak kena kuat ya dan pantau pemakanan anak," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!