Bazar Ramadan Kampung Lubok bawa pengunjung kembali ke era 50-an

Bazar Ramadan Kampung Lubok, Tanah Merah berkonsep klasik iaitu zaman 50-an.
Bazar Ramadan Kampung Lubok, Tanah Merah berkonsep klasik iaitu zaman 50-an.
A
A
A

TANAH MERAH - Pasangan peniaga roti canai di Kampung Lubok, Tanah Merah mencipta kelainan dengan menganjurkan bazar Ramadan berkonsep klasik iaitu zaman 50-an.

Fifi Nasuha Samoh, 26, berkata, konsep itu dipersetujui bersama suami Abdul Syukor Othman, 40, bertujuan memeriahkan Ramadan selain berkongsi rezeki dengan peniaga kecil di kampung berkenaan.

Menurut beliau, idea itu wujud selepas melihat konsep berkenaan diperkenalkan di Kampung Selama di Perak ketika melawat kakaknya yang menetap di sana.

Fifi Nasuha menunjukkan tulisan jawi 'roti canai sarang burung' di gerainya.
Fifi Nasuha menunjukkan tulisan jawi 'roti canai sarang burung' di gerainya.

"Kebetulan pula suami saya mempunyai tanah di hadapan kedai makan kami di kampung ini dan sesuai untuk dijadikan tapak bazar Ramadan," katanya.

Justeru kata Fifi Nasuha, selepas perbincangan bersama, mereka bersetuju menganjurkan bazar dengan kadar sewa RM5 sehari pada hari berniaga sahaja.

Jelasnya, bagi memeriahkan suasana bazar, peniaga dan pengunjung digalakkan memakai pakaian bertema klasik sesuai dengan konsep yang diketengahkan.

Antara pakaian itu katanya, baju kurung Kedah, kain sarung dan selendang untuk wanita manakala lelaki pula perlu mengenakan busana seperti samping menggunakan kain pelikat, semutar kepala kain lepas atau bersongkok.

Artikel Berkaitan:

Penduduk tidak melepaskan peluang mengunjungi Bazar Ramadan Kampung Lubok dan mengenakan busana klasik.
Penduduk tidak melepaskan peluang mengunjungi Bazar Ramadan Kampung Lubok dan mengenakan busana klasik.

Bagaimanapun menurut Fifi Nasuha, mereka tetap memaklumkan peniaga supaya menjaga kualiti makanan dan kebersihan di bazar itu.

"Walaupun tema itu boleh menarik perhatian pelanggan namun peniaga perlu mengutamakan dua perkara itu supaya pelanggan gembira untuk kembali setiap hari di bazar ini," katanya lagi.

Jelasnya lagi, bazar yang boleh memuatkan kira-kira 20 peniaga itu juga merupakan satu-satunya berada di dalam kampung berkenaan.

"Bazar Ramadan ini juga membantu penduduk setempat menjimatkan masa kerana tidak perlu bersesak untuk keluar ke bandar Tanah Merah bagi mendapatkan juadah berbuka puasa," katanya.

Fifi Nasuha memberitahu, antara juadah istimewa yang terdapat di bazar berkenaan ialah ondeh-ondeh yang dimasak panas, martabak, ayam percik serta pelbagai jenis kuih, lauk-pauk dan air.

Mohd Adli
Mohd Adli

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Adli Mat Kasim, 37, mengambil peluang untuk berniaga ikan bakar dan air balang sepanjang Ramadan.

Katanya, konsep yang diketengahkan penganjur mendapat sambutan menggalakkan pengunjung dan jualannya juga laris bermula hari kedua.

Para peniaga dan pengunjung digalakkan mengenakan busana klasik.
Para peniaga dan pengunjung digalakkan mengenakan busana klasik.

"Alhamdulillah, saya akan terus berniaga di sini sesuai dengan bayaran sewa tapak dan konsep baharu yang diperkenalkan penganjur," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!