Seremban, Nilai lokasi tumpuan warga asing

Kennith
Kennith
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan mengenal pasti lima lokasi 'panas' tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan warga asing di negeri ini.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kesemua lokasi tersebut adalah di Seremban dan Nilai.

"Cumanya saya tak dapat kongsi lokasi tepatnya di mana kerana ada antaranya agak spesifik. Tapi setiap kali operasi dilaksanakan, daerah Seremban termasuk kawasan Nilai merekodkan jumlah tangkapan paling ramai.

"Daripada 1,773 PATI yang ditahan tahun lalu, 1,341 daripadanya ditahan di Seremban termasuk 525 di sekitar kawasan Nilai.

"Ia membabitkan 699 operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri ini dan dalam tempoh itu, seramai 7,852 warga asing telah diperiksa," katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini pada Jumaat.

Nilai 3 antara lokasi ramai warga asing.
Nilai 3 antara lokasi ramai warga asing.

Menurutnya, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, seramai 477 PATI telah ditahan dan 416 daripadanya ditahan di daerah Seremban.

Ujarnya, tangkapan itu hasil 155 operasi dilaksanakan membabitkan pemeriksaan seramai 3,138 warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Khusus untuk di Bandar Nilai dan Nilai 3 saja, kita telah laksanakan 53 operasi dan daripada 314 yang diperiksa, 76 PATI ditahan.

"Di Nilai 3 ini sememangnya ramai warga asing yang kebanyakannya adalah warga Pakistan. Tapi hasil pemeriksaan mendapati, mereka ini ada permit bekerja," katanya.

Beliau turut memberitahu, terdapat beberapa kategori warga asing di Nilai 3 antaranya, suami atau isteri kepada rakyat tempatan dan mereka yang sememangnya datang untuk bekerja.

Dalam pada itu, kata Kennith, statistik menunjukkan jumlah tangkapan PATI di negeri ini telah meningkat berbanding dua tahun sebelumnya iaitu (1,368) orang pada 2022 dan (724) pada 2021.

"Kita juga menjangkakan jumlah tangkapan akan terus meningkat tahun ini dan operasi akan dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!