Lelaki pandu Porsche Cayenne langgar gajah
SETIU - [DIKEMAS KINI] Seekor gajah liar cedera setelah dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Kilometer 45, Kampung Kolam, Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila SUV jenis Porsche Cayenne dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Rhu 10 menuju ke Lembah Bidong.
Menurutnya, kenderaan itu yang dipandu seorang pengurus syarikat, Sharul Azma Che Samaon, 42, dikatakan tidak sempat mengelak menyebabkan ia terlanggar haiwan terbabit.
"Akibat rempuhan itu, haiwan tersebut dipercayai cedera pada bahagian kaki dan jatuh di tempat kejadian.
"Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan dipandu remuk pada bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Afandi berkata, mamalia itu bagaimanpun telah bangun dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan kira-kira 10 minit selepas kemalangan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Afandi berkata, gajah berkenaan telah dilihat berkeliaran di sekitar kawasan itu sekitar jam 6.30 petang sebelum berlaku kemalangan.
Katanya, usaha mengesan gajah berkenaan kini sedang giat dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Kemalangan melibatkan seekor gajah itu mula tular di media sosial sejak malam Jumaat selepas beberapa pengguna memuat naik rakaman kejadian di laman sosial masing-masing.
Insiden itu mendapat perhatian kerana ia disifatkan pertama kali berlaku di laluan Kuala Terengganu - Besut yang biasanya hanya melibatkan kemalangan terlanggar haiwan seperti kuda, kambing dan lembu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!