'Task force' cegah kes curi duit tabung masjid

Mazli (tengah) memeriksa anggota SRS sebelum rondaan dijalankan.
Mazli (tengah) memeriksa anggota SRS sebelum rondaan dijalankan.
A
A
A

KUALA NERUS - Polis Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perpaduan negeri menubuhkan 'task force' bagi mengaktifkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai usaha membantu mengurangkan kadar jenayah sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, langkah itu juga dapat membendung kegiatan jenayah dalam komuniti setempat termasuk memantau kes kecurian duit tabung masjid yang berlaku di Terengganu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, rondaan bersama KRT dan SRS dilakukan bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam terutama melibatkan kejadian pecah tabung pada musim Ramadan ini.

"Kebiasaan penjenayah ini mensasarkan tabung masjid yang banyak menerima derma. Setakat ini ada tiga kes pecah tabung masjid direkodkan di Terengganu.

"Tiga kes itu berlaku di kawasan Gong Badak, Bukit Payong dan Kuala Terengganu terutama masjid yang menerima kapasiti jemaah yang ramai.

"Usaha mengesan suspek terlibat masih dijalankan dan kita percaya mereka ini merupakan orang tempatan yang berada di kawasan sekitar," katanya ketika ditemui pemberita pada program rondaan Polis Diraja Malaysia bersama SRS di sini pada malam Jumaat.

Mazli (dua dari kiri) ketika program program rondaan Polis Diraja Malaysia bersama SRS di
Mazli (dua dari kiri) ketika program program rondaan Polis Diraja Malaysia bersama SRS di

Mengulas lanjut, Mazli berkata, beberapa fasa dibahagikan terutama pada malam bagi melakukan rondaan di kampung atau sesuatu kawasan perumahan.

Artikel Berkaitan:

"Rondaan di waktu siang pula, kita sudah letakkan anggota polis di setiap masjid.

"Selain itu, pemantauan pihak polis bersama KRT dan SRS ini juga dapat memastikan masyarakat di negeri ini mengerjakan ibadah pada bulan Ramadan terutama waktu malam dengan selesa dan aman," ujarnya.

Sementara itu, Mazli berkata, pihaknya juga melakukan pemantauan di bazar bagi memastikan penjualan mercun tidak berlaku di semua bazar Ramadan di Terengganu.

"Setakat ini kita sudah rampas penjualan mercun dijalankan di but kereta. Kita hanya membenarkan penjualan beberapa kategori mercun yang telah ditetapkan dan diluluskan.

"Jadi mana-mana pihak yang menjual mercun tidak dibenarkan, kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!