Bom ikan: Geng pancing gesa tindakan segera
GERIK - Komuniti pemancing bersama-sama penduduk setempat menggesa tindakan segera diambil terhadap individu yang bertindak menggunakan bom ikan di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor di sini pada Sabtu.
Wakil komuniti pemancing seluruh Malaysia, Rospaizal Ismail berkata, tindakan sekumpulan individu berkenaan disifatkan sebagai keterlaluan dan menjejaskan ekosistem sungai terutama spesies ikan kelah.
Menurutnya, disebabkan video yang tular, komuniti memancing bertindak membuat laporan polis untuk menggesa tindakan tegas diambil ke atas pelaku.
"Kami komuniti pemancing sangat kecewa dengan sikap segelintir individu yang menggunakan bom ikan ini. Kalau memancing kami tak marah tapi mereka buat khianat merosakkan ekosistem.
"Saya tahu ikan itu kena bom atau kena renjat elektrik. Kalau pancing tak akan boleh dapat sebanyak itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gerik di sini pada Sabtu.
Turut hadir memberi sokongan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Bagi Ahli Jawatankuasa Persatuan Orang Asli Hulu Perak, Amran Andak, tindakan menggunakan bom ikan itu menjejaskan pendapatan penduduk tempatan kerana ikan berkurangan dan perlu tempoh masa panjang untuk pulih.
Menurutnya, tuduhan bahawa perbuatan tersebut dilakukan orang tempatan juga tidak berasas kerana penggunaan bom tidak pernah digunakan untuk menangkap ikan.
"Kami sangat terkesan kerana bila satu lubuk itu mereka bom, untuk pulih itu mengambil masa yang lama sebab kami Orang Asli mencari ikan sungai sebagai sumber pendapatan.
"Bila berlaku kejadian ini, mungkin dua tahun lagi saiz-saiz ikan besar boleh kita dapat semula," katanya.
Media melaporkan pihak polis menyerahkan siasatan berhubung kes sekumpulan individu yang didakwa mengebom dan merenjat elektrik ikan kelah di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor, di sini kepada Jabatan Perhutanan negeri serta Jabatan Perikanan.
Terdahulu tular video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan dan perbuatan itu mendapat kritikan netizen.
Kerajaan Perak tak lepas tangan
Sementara itu, Salbiah berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut kerana ikan kelah merupakan khazanah yang dilindungi.Menurutnya, susulan kejadian yang tular itu, tindakan sudah diambil oleh agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Jabatan Perikanan.
"Saya tidak akan berkompromi kepada sesiapa juga yang buat perkara sedemikian sama ada orang luar atau masyarakat tempatan.
"Pelaku harus diambil tindakan segera tanpa ada perlindungan daripada mana-mana pihak sebab ini perkara yang salah," katanya.
Tegas Salbiah, perbuatan yang dilakukan itu tidak berperikemanusiaan apabila bukan sahaja ikan besar, malah anak-anak ikan turut mati.
Katanya, masyarakat tempatan bersusah payah menjaga habitat ikan tersebut melalui santuari kelah Akekchep dari anak ikan sehingga besar.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah lepas tangan mengenai isu tersebut.
Pada Jumaat, Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan notis arahan pembekuan kelulusan permit memasuki empat hutan simpanan kekal di daerah Hulu Perak bagi tujuan rekreasi berkuat kuasa serta-merta.
Tempoh pembekuan itu dilaksanakan selama tiga bulan bermula pada Jumaat sehingga 15 Jun depan.
Arahan tersebut dikeluarkan dipercaya berkaitan isu yang tular menerusi rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!