Ceria dirai SCSB, nikmati pelbagai juadah buka puasa
SHAH ALAM - Keriangan jelas terpancar pada wajah 100 anak-anak yang terpilih untuk berbuka puasa sempena program Nikmati Rezeki@Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) anjuran SACC Convec Sdn Bhd (SCSB).
Mereka bukan sahaja dapat berbuka dengan lebih 100 jenis juadah istimewa disediakan tetapi turut diberikan duit raya dan saguhati disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Azlina Amran.
Salah seorang penerima, Mohamad Hairi Firdaus, 13, berkata, ini merupakan kali pertama dia berbuka beramai-ramai bersama rakan-rakannya dengan menikmati pelbagai juadah.
"Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih kami untuk berbuka bersama dan ini merupakan kali pertama saya dapat berbuka seperti ini dan diberikan duit raya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Puteri Mia Balqis Rahim, 12, turut teruja kerana disajikan dengan pelbagai makanan enak dan menyifatkan peluang itu hanya hadir ketika bulan Ramadan.
Sementara itu, Azlina memaklumkan penerima berkenaan terdiri daripada 50 pelajar Maahad Al-Iman Al-Adni dan 50 anak- anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia.
Ujar Azlina, program ini turut dimeriahkan dengan alunan qasidah dan tazkirah daripada ustaz Don Daniyal Biyajid menerusi kerjasama bersama pihak Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di SACC.
"Saya mengharapkan agar majlis ini menjadi salah satu pengalaman berharga buat semua individu yang hadir, serta menjadi titik permulaan bagi usaha lebih besar dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat.
"Tanggungjawab kita tidak hanya terhenti di sini sahaja, sebagai ummah prihatin, kita wajar memberi perhatian kepada mereka kerana menjaga anak yatim ini ibarat bersama Rasulullah SAW di syurga," ujar Azlina.
Dalam pada itu, SCSB turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada rumah kebajikan dan maahad tahfiz selain pemberian duit raya dan saguhati sebagai tanda berkongsi rezeki.
Dalam masa sama, tetamu dapat menyumbang kepada YIDE yang kemudian akan disalurkan kepada mereka memerlukan melalui kod QR disediakan pada gegantung, meja dan skrin diod pemancar cahaya (LED) sepanjang bufet Ramadan SACC berlangsung dari 14 Mac hingga 7 April ini.
"Program CSR ini turut ditaja Adabi dengan sumbangan produk-produk boleh dimanfaatkan oleh semua yang hadir terutama bagi penyediaan sahur dan iftar sepanjang bulan Ramadan ini," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!