MRCB ada tempoh tiga bulan sebelum Stadium Shah Alam diroboh
SABAK BERNAM - Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mempunyai tempoh tiga bulan bagi memenuhi syarat dan prosedur sebelum pelaksanaan perobohan stadium Shah Alam.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Saipolyazan M Yusop berkata, tempoh tiga bulan itu bagi membolehkan pihak pemaju menyusun segala perancangan dan syarat ditetapkan dalam perjanjian persefahaman pada Februari lalu.
"Apabila syarat ditetapkan (telah dipenuhi pemaju), maka kita membenarkan mereka memulakan (kerja) perobohan stadium tersebut.
"Kita cuba dalam masa setahun tiga bulan, iaitu tiga bulan untuk perancangan perobohan dan setahun untuk perobohan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar pada Sabtu.
Saipolyazan memberitahu, kerja-kerja perobohan itu dijangka mengambil masa selama setahun sebelum pembangunan semula stadium itu dilaksanakan.
"Kita robohkan dulu kemudian kita cari kaedah macam mana hendak bangunkan dan cara bayaran dalam masa setahun," ujar beliau
Justeru, katanya, segala perancangan dan ketetapan itu penting bagi memastikan pemaju mematuhi tempoh masa yang ditetapkan.
Jelas beliau, kemajuan projek itu juga akan dipantau bagi memastikan pelaksanaan kerja perobohan dan pembinaan dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun ini.
Sinar Harian pada 6 Februari lalu melaporkan, MBI Selangor dan MRCB menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi pembangunan Stadium Shah Alam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usahasama itu menandakan kerja-kerja fizikal akan dimulakan setelah melalui proses perancangan dan prosedur rapi.
Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan pembinaan kompleks sukan baharu termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam yang menelan kos antara RM787 hingga RM800 juta.
Venue itu bakal dilengkapi teknologi tinggi apabila permukaan padangnya boleh diubah seperti mana yang terdapat di Stadium Alabama, Amerika Syarikat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!