Serangan terbaharu Israel, 80 rakyat Palestin terbunuh

Warga Palestin menunaikan solat Jumaat di kawasan Masjid Al-Farouq di Rafah yang musnah dibom Israel. Foto AFP
Warga Palestin menunaikan solat Jumaat di kawasan Masjid Al-Farouq di Rafah yang musnah dibom Israel. Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan semalaman Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Laporan media di Gaza menyatakan bahawa Israel terus menyerang pelbagai bahagian di wilayah terkepung itu, termasuk Kem Pelarian Nusairat dan Bandaraya Gaza.

Serangan itu mengakibatkan ramai penduduk cedera dalam serangan yang menyasarkan rumah dan bangunan awam.

Tentera Israel mengebom sebuah rumah di jalan al-Jala menyebabkan ramai penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

Serangan itu juga memusnahkan sebuah bangunan tujuh tingkat berhampiran Hospital al-Shifa di Bandaraya Gaza, mengakibatkan kematian berpuluh-puluh penduduk, dengan lebih ramai lagi terperangkap di bawah runtuhan.

Pasukan pertahanan awam Palestin mengeluarkan lima mayat penduduk daripada runtuhan bangunan itu manakala usaha menyelamat lain masih diteruskan.

Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan ke atas sebuah rumah di kawasan perumahan Tuffah di Bandaraya Gaza.

Menurut Pejabat Media kerajaan Gaza, ramai penduduk terbunuh apabila tentera Israel mengebom sebuah rumah di kawasan perumahan Nasr.

Artikel Berkaitan:

Tentera rejim juga menyerang sebuah rumah di Kem Pelarian Nusairat, membunuh sekurang-kurangnya 36 rakyat Palestin.

Sejak 7 Oktober lepas, sekurang-kurangnya 31,490 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh di Gaza manakala 73,439 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel. - Bernama-Anadolu

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!