Lebih 10,000 unit Residensi Madani, Wilayah akan dibangun di Putrajaya
KUALA LUMPUR - Lebih 10,000 unit Residensi Madani dan Wilayah disasar dibangunkan di Putrajaya bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pembangunan kedua-dua jenis residensi itu akan memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman mampu milik pada harga di bawah RM300,000.
"Ini adalah satu daripada usaha peningkatan darjat hidup rakyat di bawah kluster Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melalui inisiatif Lindung @ PUJI.
"Insya-ALLAH di Putrajaya projek ini akan dibangunkan di pelbagai Presint dengan sasaran melebihi 10,000 unit yang akan dibina bermula 2024 dan siap pada 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dan mendengar sendiri isu dan ketersediaan pemaju bagi memulakan projek perumahan Residensi Madani dan Wilayah yang akan dibangunkan di Putrajaya.
PUJI merupakan satu daripada inisiatif atau program memperkasa warga Wilayah Persekutuan yang telah dirangka sebagai pendekatan inklusif dalam menangani isu sosio ekonomi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!