Jepun arah hantar kapal pemusnah, pesawat peronda di Timur Tengah

Menteri Pertahanan Jepun, Taro Kono - Foto AFP
Menteri Pertahanan Jepun, Taro Kono - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Menteri Pertahanan Jepun, Taro Kono, semalam mengarahkan Pasukan Pertahanan Diri Maritim menghantar kapal pemusnah dan dua pesawat peronda P-3C ke Timur Tengah dalam misi memastikan keselamatan kapal Jepun, lapor Jiji Press.

Kerajaan melihat terdapatnya keperluan untuk misi itu walaupun ketegangan di Timur Tengah telah memuncak sejak kematian seorang komander tertinggi Iran minggu lalu yang dibunuh Amerika Syarikat (AS) dan serangan peluru berpandu Teheran terhadap pangkalan Iraq yang digunakan tentera AS pada minggu ini, menurut pegawai.

Penghantaran anggota MSDF termasuk pesawat peronda dan kapal pemusnah berdasarkan Artikel 4 Undang-Undang Kementerian Pertahanan.

Mereka akan menjalankan aktiviti pengawasan dalam usaha untuk memastikan keselamatan kapal Jepun yang melalui perairan di rantau berkenaan.

Anggota MSDF untuk operasi P-3C akan berlepas dari Jepun pada Sabtu.

Mereka juga akan terlibat dengan misi anti lanun yang sedang berlangsung di Teluk Aden di Somalia.

Kapal pemusnah Takanami pula berlepas pada awal Februari dan akan memulakan operasi penghujung bulan.

Misi Timur Tengah meliputi kawasan di Teluk Oman, utara Laut Arab dan Teluk Aden, bagaimanapun Selat Hormuz, termasuk perairan Iran dikecualikan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Iran mengaku tembak jatuh pesawat Ukraine

Misi itu dijangka berlangsung selama setahun dan boleh dilanjutkan jika keadaan memerlukan.

Memandangkan Kabinet Perdana Menteri, Shinzo Abe telah meluluskan misi Timur Tengah pada 27 Disember tahun lepas, MSDF telah berusaha menyediakan keperluan termasuk peralatan selain melatih anggota.

Semasa lawatan lima harinya ke Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Oman bermula Sabtu, Abe merancang menjelaskan mengenai matlamat MSDF kepada pemimpin negara-negara Timur Tengah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!