Pengusaha vesel diminta jaga kelestarian Sungai Kuantan
KUANTAN - Pengusaha vesel diminta agar menjaga kelestarian Sungai Kuantan termasuk sumber perikanan di dalamnya.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pihaknya melalui sesi libat urus sering kali menasihatkan pengusaha vesel yang menjalankan penangkapan ikan supaya bersama-sama bertanggungjawab menggunakan Sungai Kuantan.
"Penguatkuasaan berhubung pencemaran sungai tidak berada dalam bidang kuasa Jabatan Perikanan.
"Namun bagi menjaga kelestarian Sungai Kuantan termasuk sumber perikanan di dalamnya. Elak lakukan aktiviti yang mengakibatkan pencemaran di sungai tersebut," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp pada Sabtu.
Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan Sungai Perak, Sungai Kuantan dan Sungai Terengganu yang terkenal dalam kalangan kaki pancing merupakan antara 11 sungai di negara ini yang dikesan mempunyai bahan kimia paling berbahaya iaitu kimia cap jari dan benzo (a) pirena daripada minyak hitam yang boleh memberi risiko penyakit kanser, jika terdedah.
Menurut kajian analisis hidrokarbon aromatik polisiklik (PAHs) daripada gabungan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tokyo, Jepun, kepekatan bahan benzo (a) pirena paling tinggi dijumpai adalah di Sungai Klang.
Hasil kajian berasaskan cap jari di Kelantan serta Sungai Perak di Perak turut tersenarai sebagai sungai dengan bahan kimia berbahaya berkenaan.
Kajian yang dijalankan selama 25 tahun itu mendedahkan punca utama pencemaran sungai-sungai tersebut adalah disebabkan oleh industri di sekitar kawasan sungai seperti pembaikan jentera yang melepaskan minyak hitam tanpa rawatan lalu mencemarkan alam sekitar.
Pada Sabtu, komuniti nelayan dan komuniti yang menggunakan Sungai Kuantan mendakwa pencemaran di Sungai Kuantan melebihi tahap membimbangkan.
Dakwa mereka kerana hidupan akuatik didapati tercemar dengan kesan hidrokarbon seperti minyak hitam dan diesel yang berlaku sejak beberapa dekad lalu, memberi kesan terhadap mata pencarian mereka di sungai tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!