Tiga ejen pembantu rumah ditahan, eksploitasi wanita Indonesia

Empat wanita warga Indonesia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan diselamatkan dalam operasi di Petaling Jaya, pada Jumaat. Foto: Imigresen Putrajaya
Empat wanita warga Indonesia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan diselamatkan dalam operasi di Petaling Jaya, pada Jumaat. Foto: Imigresen Putrajaya
A
A
A

PETALING JAYA - Tiga ejen yang menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sehingga RM20,000 termasuk menjanjikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ditahan di sini, pada Jumaat disyaki terlibat eksploitasi wanita Indonesia.

Operasi itu dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi kira-kira jam 10.30 malam itu bertindak menyerbu sebuah rumah dan menahan tiga ejen terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia.

"Empat wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 51 tahun dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang telah diselamatkan.

"Hasil siasatan awal mendapati ejen ini aktif menjalankan aktiviti mengurus kemasukan, merekrut dan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah serta menempatkan mangsa di sebuah rumah dalam kawalannya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ejen ini menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sebanyak RM14,000 hingga RM20,000 termasuk menjanjikan PLKS yang dikatakan boleh diuruskannya.

Imigresen menyerbu sebuah rumah di Petaling Jaya, pada Jumaat dan menahan tiga ejen yang disyaki terlibat eksploitasi pekerja asing. Foto Imigresen Putrajaya
Imigresen menyerbu sebuah rumah di Petaling Jaya, pada Jumaat dan menahan tiga ejen yang disyaki terlibat eksploitasi pekerja asing. Foto Imigresen Putrajaya

Dedah beliau, urusan dengan bakal majikan dibuat dengan menghantar gambar pendaftaran syarikat, gambar pembantu rumah dan pasport melalui aplikasi WhatsApp dan mengatur perjumpaan jika bakal majikan ingin meneruskan pengambilan pembantu rumah.

Artikel Berkaitan:

"Ini dilakukan bagi meyakinkan bakal majikan bahawa segala urus niaga tersebut adalah dibuat melalui cara yang sah oleh agensi pekerjaan berdaftar.

"Ejen ini telah menjalankan aktiviti sejak empat tahun lepas dan dipercayai boleh mengaut keuntungan dianggarkan antara RM80,000 hingga RM90,000 setahun," katanya.

Tambah Ruslin, siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

"JIM akan terus menjalankan operasi membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," ujarnya.

Jelasnya, masyarakat disaran untuk terus menyalur maklumat kepada pihak imigresen dengan menghubungi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA sekiranya terdapat maklumat warga asing yang dieksploitasi agar tindakan undang-undang boleh diambil dalam usaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!