Penyeludup leka isi petrol waktu sahur ditahan
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang penyeludup yang leka mengisi petrol di sebuah stesen di Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa, di sini semasa umat Islam sibuk membuat persiapan bersahur pada awal pagi Sabtu.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, serbuan jam 3 pagi itu menahan suspek berusia 40-an bagi membantu siasatan.
"Selain suspek, kita turut mengambil tindakan ke atas pemilik stesen minyak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya pada Sabtu.
Menurutnya, semasa menahan suspek, pihaknya menemui 675 liter minyak petrol di dalam kereta tersebut.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua minyak petrol itu berada di dalam 27 tong jerikin.
Azman memberitahu, nilai rampasan kesemua barangan termasuk kereta berjumlah RM11,383.75.
"Hasil maklumat risikan mendapati suspek dikesan membuat pengisian minyak petrol di stesen minyak secara berulang kali melebihi kuantiti tangki tambahan dan tong-tong jerikin.
"Kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan.
"KPDN Kelantan sentiasa memastikan supaya pengguna menikmati subsidi yang ditawarkan dan peniaga mematuhi perundangan yang ditetapkan serta bekalan mencukupi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!