Bas pelancong Thailand: Kelantan utus surat kepada MOT
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mengutus surat rasmi kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam minggu ini bagi membincangkan perkara berkait kebenaran bas pelancong Thailand masuk ke negeri ini
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, tindakan itu selepas MOT membuka ruang untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
"Usaha ini amat baik untuk sektor pelancongan Kelantan termasuk negeri-negeri di sempadan Malaysia-Thailand," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, jika perkara tersebut dapat dilaksanakan, ia bakal memberi impak yang baik kepada industri pelancongan di negeri-negeri terlibat.
Ujarnya, langkah itu mampu mengimbangi aliran keluar masuk pelancong kedua-dua negara.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan MOT sedia meneliti permohonan rayuan Kelantan agar bas pelancong Thailand dibenar memasuki Malaysia melalui empat negeri bersempadan dengan negara Gajah Putih itu.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kelantan boleh mengemukakan permohonan kepada MOT untuk pertimbangan.
"Tetapi ada pelbagai isu teknikal yang perlu diatasi termasuklah dari segi perlesenan dan pemandu dan sebagainya.
"Jadi itu perlu dikaji dengan mendalam sebelum sesuatu dasar itu diubah," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!