Penduduk resah kehadiran lori tanah
SHAH ALAM - Penduduk Taman Alam Budiman, Seksyen U10 dekat sini dan kawasan sekitarnya meluahkan kebimbangan dengan kehadiran lori tanah yang kian rancak menggunakan laluan Persiaran Pulau Lumut sejak lima bulan lalu.
Pengerusi Penduduknya, Badrulhisham Shahbuddin mendakwa kenderaan berat itu beroperasi tanpa mengira waktu termasuk cuti umum serta hujung minggu hingga mengundang isu keselamatan penduduk selain masalah debu.
Menurutnya, lori terbabit menjadikan jalan perumahan penduduk sebagai jalan pintas ke Setia Alam susulan dua projek pembangunan di kawasan berhampiran.
"Dengan beban muatan berlebihan dan kekerapan penggunaan laluan ini, permukaan jalan sudah mendap dan rosak.
"Kami inginkan penjelasan, adakah jalan ini boleh dilalui kenderaan berat? Selain lori, treler dan kenderaan berat lain juga melalui jalan ini menyebabkan keadaan menjadi sesak dan berbahaya kepada kenderaan ringan," katanya semasa bantahan diadakan bersama wakil penduduk sekitar Alam Budiman termasuk Greenhill Residence serta Kampung Budiman pada Sabtu.
Ujarnya, penduduk berharap kenderaan berat dihalang menggunakan jalan pintas itu demi keselamatan penduduk.
"Kewujudan lori di sini juga telah mendatangkan masalah kesesakan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat kerana sikap pemandu lori yang gemar memotong barisan.
"Kami juga terpaksa mengambil risiko berkongsi jalan dengan lori-lori ini yang ada antaranya dipandu secara laju untuk mengejar 'trip'. Bonggol yang dibina supaya kenderaan diperlahankan juga tidak diendahkan," katanya.
Justeru katanya, penduduk berharap agensi berkaitan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi menyelesaikan aduan penduduk.
Dalam pada itu, Penasihat Generasi U14 Kampung Budiman, Norazli Mazelan berkata, penduduk turut mempersoalkan kebenaran waktu operasi kenderaan berat berkenaan yang dilihat menggunakan laluan terbabit tanpa henti dari awal pagi hingga lewat malam.
"Semakin hari semakin banyak lori tanah melalui Persiaran Pulau Lumut ini dan Kampung Budiman hingga menyebabkan banyak jalan rosak dan risiko kemalangan khususnya penunggang motosikal.
"Sekarang pula sudah mula sesi persekolahan dan sepatutnya lori-lori ini tidak dibenarkan beroperasi pada waktu puncak sebaliknya, operasi mereka tetap berjalan seperti biasa, adakala seolah-olah berkonvoi hingga empat ke lima lori serentak," katanya.
Ujarnya, penduduk tidak menghalang pembangunan namun berharap aktiviti tersebut tidak mengundang risiko kepada penduduk sedia ada.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Greenhill Residence U10, Mohamad Zailani Johari berkata, penduduk berharap agensi penguat kuasa mendengar masalah dihadapi penduduk serta mengkaji semula kesesuaian kenderaan berat melalui jalan berkenaan.
"Setiap hari beratus lori tanah melalui jalan ini, kadang kala bawa lebih muatan. Kita tak mahu kemalangan maut berlaku di sini.
"Harap bantahan ini mendapat maklum balas daripada agensi berkaitan namun jika masih berterusan, kami akan panjangkan isu ini untuk perhatian kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!