Kapal bantuan pertama tiba di Genting Gaza

Kapal bantuan ini membawa kira-kira 200 tan bekalan makanan selepas berlepas dari Cyprus pada Selasa lalu. Foto Agensi
Kapal bantuan ini membawa kira-kira 200 tan bekalan makanan selepas berlepas dari Cyprus pada Selasa lalu. Foto Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - Kapal bantuan pertama yang melalui koridor maritim baharu dari Cyprus tiba di pantai Genting Gaza pada Jumaat selepas usaha penghantaran bekalan dilakukan menggunakan pelbagai medium termasuk digugurkan dari udara.

Open Arms yang berlepas dari Nicosia pada Selasa lalu membawa kira-kira 200 tan bekalan makanan buat penduduk Gaza yang kini di ambang kebuluran selepas kempen pengeboman ganas Israel kini memasuki bulan keenam.

Badan amal, World Central Kitchen berpusat di Amerika Syarikat (AS) yang bekerjasama dengan yayasan dari Sepanyol, Open Arms memaklumkan kargo tersebut membawa pelbagai bekalan seperti kacang, daging dalam tin, tepung dan beras.

“Matlamat kami adalah untuk menubuhkan 'lebuh raya maritim' ke Gaza,” kata jurucakapnya, Juan Camilo Jimenez yang masih menekankan kepentingan membuka lebih banyak akses laluan darat bagi penghantaran bekalan penting ke enklaf tersebut.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan ia telah menempatkan sejumlah anggota kononnya untuk mengawal keselamatan di sekitar jeti tersebut ketika pemunggahan kargo dilakukan.

"Open Arms turut menjalani pemeriksaan keselamatan yang komprehensif," ujar IDF dalam satu kenyataan.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang resah jika bantuan tersebut tidak dapat sampai ke tangan penduduk Gaza.

Ketika penghantaran bantuan kemanusiaan dipergiatkan, rejim Zionis dilaporkan terus memperhebatkan kempen pengeboman di seluruh Gaza dan meragut lebih 120 nyawa dalam tempoh 24 jam pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) di Baitulmaqdis Timur dengan kawalan keselamatan ketat dan sekatan yang masih dilaksanakan di pintu masuk kawasan suci tersebut.

“Ia adalah Ramadan pertama saya melihat terlalu ramai anggota polis berkawal. Dua tahun lalu, saya masih lagi boleh 'melawan' jika tindakan mereka keterlaluan. Tetapi, kali ini tiada peluang langsung,” jelas tukang kayu, Amjad Ghalib, 44.

Di Rafah, selatan Gaza, kumpulan jemaah dilihat mengerjakan solat Jumaat di tapak runtuhan sebuah masjid.

Kebimbangan komuniti antarabangsa semakin meningkat selepas Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan pelan ofensif ke atas Rafah yang menjadi tempat perlindungan lebih sejuta penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal, namun tidak memberikan butiran lanjut atau garis masa operasi ketenteraan tersebut. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!