Kerajaan minta penjelasan Google berhubung data kadar pertukaran ringgit tidak tepat
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour telah menghubungi pihak Google mengenai perkara itu.
Katanya, paparan data tidak tepat yang tular di media sosial itu adalah satu petanda tidak baik yang menimbulkan kegusaran dan salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kita tahu dan faham Google menjadi salah satu rujukan bagi rakyat Malaysia, maka kita harap penjelasan itu dapat disampaikan juga kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada Program Teh Hijau Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Fahmi berkata, ketika kerajaan sedang berusaha memacu pertumbuhan semula ekonomi negara dengan keyakinan yang ditunjukkan kepada pelabur, maka perkara asas seperti itu tidak seharusnya berlaku.
"Ia seharusnya tidak berlaku, ia tidak boleh berlaku, dan kita tidak akan benarkan ia berulang,” tegas Fahmi.
Beliau turut berterima kasih kepada BNM atas penjelasan pantas yang diberikan berhubung data tidak tepat itu hari ini.
BNM dalam kenyataannya pada Sabtu, dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran AS$/MYR yang diterbitkan oleh Google.
Bank pusat itu menjelaskan pada Jumaat (15 Mac 2024) kadar pertukaran AS$/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi, dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.
BNM memaklumkan bahawa ini kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran AS$/MYR yang tidak tepat tahun ini.
Bank pusat telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari, 2024, tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!