Muhammad Zafran sambung warisan sebagai penenun songket
KOTA BHARU - Seorang pemuda tidak menyangka akan menjadi penyambung warisan penenun songket dalam keluarganya yang mula diusahakan sebelum tahun1930-an.
Muhammad Zafran Ariffin, 22, berkata, datuknya, Datuk Hussin Yusoff berkongsi perkara itu ketika dia menyambung pengajian Diploma Kraf tenunan, Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor tahun lalu.
Menurut Muhammad Zafran, bacaan buku ilmiahnya mendapati ramai wanita di Kelantan merupakan penenun sehingga perang Jepun.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan moyang dahulu seorang penenun mahir malah boleh menenun kain punca potong yang kini disimpan kemas di rumah datuk," katanya.
Menurut Muhammad Zafran, bakat dan minatnya mungkin turun temurun daripada nenek moyangnya yang ketika itu akfif menenun.
Anak keempat daripada lima beradik itu sanggup mengumpul wang hasil bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membeli kek (mesin) tenun pada harga keseluruhan mencecah RM2,000.
"Saya membeli kek tenun secara berasingan termasuk dari Kuala Terengganu bagi menghasilkan tenunan berkualiti dan kemas," katanya ketika ditemui di bengkel tenunnya di Kampung Pauh di sini pada Sabtu.
Muhammad Zafran berkata, dia baharu sahaja mula menenun songket selepas tamat pengajian dan berhasrat menghasilkan tiga sampin songket dalam tempoh tiga bulan.
Tambahnya, bagi mencapai impian itu, dia perlu bekerja selama 12 jam sehari untuk menyiapkan corak yang direka sendiri.
Lebih kreatif, aplikasi permainan dalam talian diubah suai menjadi rekaan bunga untuk menghasilkan tenunan di sampin songketnya.
"Antara corak yang saya hasilkan ialah bunga bintang, pagar istana, kendik tali dan air muleh berakar," katanya.
Muhammad Zafran memberitahu, pembuatan tenunan kini tidak lagi popular di Kelantan berikutan ramai yang sudah 'menggantung' kek tenun mereka.
"Saya dimaklumkan beberapa bekas penenun songket, bisnes tenun itu sebelum ini sangat bergantung kepada kerajaan dan kini pembuatannya semakin berkurang.
"Mungkin saya akan mengambil masa yang lama untuk menghasilkan tenunan yang benar-benar berkualiti namun besar harapan supaya dapat menyambung warisan keluarga," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!