Pemandu rentung bas ekspres terbakar, enam terselamat
GURUN - Seorang pemandu bas ekspres rentung setelah bas yang dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler sebelum terbakar di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Razali berkata, mangsa berumur anggaran 42 tahun maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.
Menurutnya, seorang lelaki berumur anggaran 30 tahun dan perempuan berumur 29 tahun mengalami cedera ringan.
"Kejadian melibatkan tujuh mangsa termasuk pemandu bas maut, dua cedera ringan dan empat lagi lelaki termasuk pembantu pemandu bas dan pemandu lori berumur antara 19 hingga 57 tahun dilaporkan selamat,"katanya.
Jelasnya, operasi melibatkan 18 anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak, BBP Amanjaya dan BBP Pendang.
"Komander Operasi lapor setiba di lokasi didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspress dan lori treler di mana bas berkenaan telah terbakar dipercayai akibat daripada kemalangan berkenaan.
"Mangsa di bahagian pemandu bas tersepit dan rentung manakala enam mangsa lain termasuk penumpang, pembantu pemandu bas serta pemandu lori terselamat," katanya.
Jelasnya, perkembangan terkini akan dikemas kini.
Setakat ini, pemadaman lanjut dan pengurusan mangsa di tempat kejadian masih dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!