Yayasan Keluarga Malaysia salur RM1.27 juta, bantu anak yatim piatu akibat Covid-19

Ismail Sabri (kiri) beramah mesra bersama sebahagian 109 anak-anak yatim dan yatim piatu dari 33 keluarga yang dibawa untuk membeli baju raya pada Program Beli Baju Raya YKM sebagai persiapan awal menjelang Aidilfitri di sebuah pusat membeli belah di ibu kota, pada Sabtu. Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) beramah mesra bersama sebahagian 109 anak-anak yatim dan yatim piatu dari 33 keluarga yang dibawa untuk membeli baju raya pada Program Beli Baju Raya YKM sebagai persiapan awal menjelang Aidilfitri di sebuah pusat membeli belah di ibu kota, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan sebanyak RM1.27 juta untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 menerusi Bantuan YKM dan Bantuan Persekolahan.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bantuan YKM akan dikreditkan terus ke akaun penerima dalam tiga fasa iaitu pada 20 Mac, Julai dan November ini, melibatkan dua kategori penerima iaitu A dan B.

Kategori A melibatkan penerima berusia sehari hingga 15 tahun yang akan menerima sumbangan RM2,000, manakala kategori B membabitkan anak-anak berusia 16 tahun sehingga tamat ijazah sarjana muda pertama menerima sumbangan RM2,500.

Beliau berkata, ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, YKM turut menyalurkan Bantuan Persekolahan sebanyak RM300 kepada setiap 589 penerima melibatkan peruntukan keseluruhan RM176,700.

"Biarpun sudah dua tahun berlalu, kesan pandemik ini masih terasa. Ada antara anak-anak ini masih trauma. Anak-anak ini tidak boleh dilupakan.

"Mereka masih memerlukan bantuan, bagaimanapun YKM tidak mampu melakukannya bersendirian. Kami menyeru golongan korporat dan orang ramai untuk bersama-sama membantu anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri majlis berbuka puasa dan menyerahkan Bantuan YKM kepada 109 anak-anak yatim akibat Covid-19 di sebuah hotel di sini hari ini, yang merupakan simbolik kepada permulaan penyaluran Bantuan YKM bagi tahun ini.

Anak-anak yatim berkenaan turut dibawa ke pusat beli-belah Sogo di sini untuk membeli baju raya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri bulan depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!