Siti Dhia Batrisyia ditemui selamat - Ibu
KUALA LUMPUR - Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai di sini, pada 2.28 pagi tadi.
Ibunya, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, penemuan anaknya itu oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dimaklumkan kepadanya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.
"Siti Dhia Batrisyia telah diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya ini,” katanya.
Terdahulu beliau turut berkongsi berita melegakan itu dalam kemas kini terbaharu di Facebook kira-kira 6.45 pagi.
"Allahuakbar...Allah Maha Besar. Dengan segala doa-doa serta pertolongan dari semua orang anak saya Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar telah dijumpai dengan selamat. Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi,” katanya.
Syarifah Rosfazila turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan polis IPD Dang Wangi atas usaha mengesan anaknya itu.
Bernama sebelum ini melaporkan ibu kepada Siti Dhia Batrisyia itu percaya anak perempuannya bertindak keluar dari rumah di Pudu di sini disebabkan oleh perselisihan faham. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!