PRN Sabah mungkin menyaksikan pemilihan Parlimen Putatan - Bung Moktar
PUTATAN - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang mungkin akan menyaksikan pemilihan serentak membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan.
Bagaimanapun Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia terpulang kepada penyandangnya Datuk Ir Shahelmey Yahya untuk membuat keputusan mengenainya.
"Keputusan di tangan dia (Shahelmey), kalau dia bertanding bermakna dia ikut peraturanlah. Dia kena letak jawatan selaku ahli Parlimen.
"Bermakna akan ada pemilihan serentak sebab itu bukan peraturan kita, itu peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Zon 2 UMNO Sabah di Masjid Al-Hilal, Kampung Contoh, di sini pada malam Sabtu.
Diminta mengulas lanjut, UMNO bersedia untuk meletakkan calon di kawasan tersebut, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan bahawa ada banyak calon yang boleh diketengahkan.
"Insya-ALLAH kita banyak calon untuk kita ketengahkan," katanya ringkas.
Untuk rekod, Shahelmey yang menyandang kerusi Parlimen Putatan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat digantung keahlian dalam UMNO selepas bertindak menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun lalu.
Susulan keputusan UMNO yang menggantung keahliannya menyebabkan beliau tidak boleh bertanding pada PRN akan datang bagi mengekalkan kerusi yang disandang melainkan terpaksa keluar daripada UMNO untuk bertanding atas tiket parti lain.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kerusi tradisi UMNO yang kini sudah disandang oleh parti lain, Bung Moktar memaklumkan akan membuat kajian berhubung perkara itu.
"Pada satu ketika memang ada kerusi yang dimiliki UMNO tetapi kita pinjamkan dengan rakan-rakan lain. Jadi mungkin ketika ini kita akan buat kajian sekiranya UMNO masih boleh menang di situ maka kita akan bertanding.
"Tetapi kita belum putuskan (berapa kerusi yang akan ditandingi), takkan kawasan cina pun kita bertanding. Sabar kita akan putuskan nanti," katanya sambil menyatakan akan fokus pada kerusi yang boleh dimenangi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!