Tiada murid, sekolah terlibat influenza A di Perak
IPOH - Jabatan Pendidikan Perak belum menerima sebarang laporan mencemaskan berkaitan jangkitan influenza A di sekolah-sekolah negeri ini.
Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, keadaan adalah terkawal namun pihaknya tetap meneliti perkembangan terkini wabak itu bagi mengelak penularan dalam kalangan murid.
"Di kebanyakan tempat dan negeri memang ada sedikit sebanyak tekanan disebabkan kes tinggi dan pesakit yang ramai secara tiba-tiba.
"Di Perak setakat ini tidak ada kes luar biasa atau yang menggemparkan membabitkan pelajar dan saya cukup yakin Jabatan Kesihatan bersama Jabatan Pendidikan telah pun mengambil langkah sewajarnya dengan memberikan panduan dan nasihat di sekolah-sekolah," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium dan Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Perak di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh hari ini.
Hadir menyampaikan ucaptama dalam majlis itu ialah Sejarawan, Profesor Emiratus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
Rabu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan menerima laporan penutupan sekolah di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar disahkan positif influenza A.
Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu boleh menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan ketua kampung bersama membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau aktiviti pembakaran terbuka di kawasan masing-masing.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang kejadian membimbangkan berlaku berikutan musim panas dan kering yang berlarutan hingga Mac nanti.
"JAS sentiasa maklumkan perkembangan terkini, negara juga sudah banyak kali berdepan situasi panas seperti ini jadi saya kira masyarakat sudah faham dan terdidik mengelak dari melakukan pembakaran," katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak komited dalam memartabatkan sejarah-sejarah negeri, satu daripadanya merancang membuat persiapan awal meraikan tahun ke 500 sejarah Kesultanan Melayu Melaka di Perak yang bakal disambut kurang lapan tahun lagi.
"Persediaan ini memerlukan tempoh yang cukup panjang dan ini masa terbaik untuk kita mulakan merancang apa aktiviti dan pengisian yang perlu dimasukkan.
"Saya harap apa yang dilakukan nanti disambut baik persatuan-persatuan sejarah, universiti dan kalangan mereka yang pakar bagi memberi signifikan jelas kepada masyarakat dan negeri khususnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!