Beri ilmu kewangan sebelum luluskan pinjaman

Zahar (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf sempena Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf anjuran DPMP bersama Zahar Advisory Group di Dewan Serbaguna Bangunan Tabung Haji di sini pada Sabtu.
Zahar (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf sempena Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf anjuran DPMP bersama Zahar Advisory Group di Dewan Serbaguna Bangunan Tabung Haji di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) menyarankan kerajaan membantu usahawan bumiputera melengkapkan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan sebelum memberikan pinjaman.

Presidennya, Datuk Zahar Hashim berkata, ilmu tersebut penting dalam memastikan usahawan bumiputera mengurus kewangan dengan baik supaya perniagaan mereka lebih teratur dan mampu pergi lebih jauh.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini terdapat ramai usahawan yang gagal memanfaatkan bantuan kewangan daripada kerajaan sehingga mereka tidak mampu membayar balik pinjaman diberi.

"Dalam menguruskan perniagaan, perkara asas seperti sinking fund dan floating fund perlu diketahui oleh usahawan. Jika perkara asas seperti ini mereka tidak tahu, perniagaan akan berdepan masalah.

"Sebab itu kita harap kerajaan mensyaratkan usahawan mengikuti program-program pengurusan kewangan terlebih dahulu sebelum meluluskan pinjaman agar bantuan kewangan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kembangkan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf anjuran DPMP bersama Zahar Advisory Group di Dewan Serbaguna Bangunan Tabung Haji di sini pada Sabtu.

Zahar (tengah) bersama anak-anak yatim dan asnaf yang diraikan sempena Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf anjuran DPMP bersama Zahar Advisory Group di Dewan Serbaguna Bangunan Tabung Haji di sini pada Sabtu.
Zahar (tengah) bersama anak-anak yatim dan asnaf yang diraikan sempena Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf anjuran DPMP bersama Zahar Advisory Group di Dewan Serbaguna Bangunan Tabung Haji di sini pada Sabtu.

Zahar berkata, usahawan bumiputera juga tidak boleh terlalu bergantung kepada trend semasa perniagaan menerusi media sosial kerana ia bersifat sementara.

Sebaliknya beliau menggesa usahawan bumiputera melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan supaya boleh terus bertahan jika berdepan cabaran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar kembali memainkan peranan membantu memudah cara usahawan dan bukan menjadi pesaing kepada perniagaan mereka.

"GLC tidak seharusnya terlibat di dalam perniagaan. Apabila GLC tubuh syarikat, mereka akan 'bunuh' usahawan kecil ini. Usahawan ini tak banyak modal tetap GLC ini ada berjuta ringgit modal. Apabila syarikat usahawan ini tidak mampu bersaing, mereka akan beli perniagaan usahawan ini.

"GLC-GLC ini perlu kembali kepada asas penubuhan mereka untuk membantu usahawan-usahawan Melayu Bumiputera," katanya.

Dalam pada itu, Zahar berkata, majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, pada tahun ini lebih 200 anak yatim dan asnaf diraikan dengan pemberian sumbangan duit raya bersama jamuan berbuka puasa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!