Tukar portfolio exco tidak ganggu persiapan Sukma Johor 2020
PASIR GUDANG - Berbaki kurang tujuh bulan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, kerajaan Johor yakin dan komited memastikan segala persiapan berjalan lancar meskipun berlaku penstrukturan semula exco pada Rabu lepas.
Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tanggungjawab sebagai exco sukan yang dikembalikan semula kepada beliau, tidak sesekali mengganggu kelancaran dan persiapan Johor sebagai tuan rumah Sukma, Julai depan.
Menurutnya, persiapan telah dimulakan sejak awal sebaik sahaja Sukma Perak 2018 berakhir dan pihaknya dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi lain dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang Sukma Johor 2020.
"Seramai 13,000 atlet dan pegawai sukan dijangka akan terlibat dalam Sukma Johor 2020.
"Sebanyak 16 sukan wajib dan 10 sukan pilihan akan dianjurkan pada Sukma tahun ini yang melibatkan empat daerah iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi," katanya selepas Majlis Pelancaran Pakej Imunisasi Bayi dan Fun Ride 2020 di KPJ Pasir Gudang, di sini hari ini.
Mohd Khuzzan sebelum ini ialah Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri pernah memegang portfolio sukan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di bawah mantan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Selain Mohd Khuzzan, dua exco yang bertukar portfolio adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Aminolhuda sebelum ini merupakan Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi kini memegang portfolio Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, manakala Sheikh Umar yang merupakan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, kini memegang portfolio Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sains dan Teknologi.
Sementara itu, program Fun Ride 2020 yang pertama kali dianjurkan hospital berkenaan berjaya menarik seramai 470 penyertaan daripada masyarakat setempat, termasuk dari negara jiran, Singapura.
Dalam program berkenaan, KPJ Pasir Gudang turut menyampaikan sumbangan berbentuk kerusi roda dan peti kecemasan kepada bilik rawatan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!