Jersi rasmi KDN FC ‘bertemu’ peminat selepas Aidilfitri
JERSI rasmi kelab bola sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) di bawah tajaan syarikat anak tempatan, PUC Sport bakal bertemu peminat selepas Aidilfitri dalam mengharungi Liga Super musim 2024/2025.
Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi berkata, jersi eksklusif tersebut kini 70 peratus siap dan akan dikeluarkan keseluruhan sebanyak 50,000.
Manurutnya, jersi rasmi KDN FC tersebut masih mengekalkan warna merah putih sempena mengambil semangat bendera Kelantan selain berlogokan kijang berwarna emas.
“Sebanyak 15,000 jersi rasmi (utama, kedua dan ketiga) akan dikeluarkan pada musim ini bagi kegunaan pemain manakala 35,000 lagi jersi meliputi pelbagai tujuan termasuk latihan, pelancaran dan jualan.
“Harga jersi rasmi skuad kijang emas ini ditawarkan kepada penyokong dan peminat bola sepak Kelantan dengan harga mampu milik di bawah RM100,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PUC Sport, di Kubang Kerian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Shukry berkata, tawaran harga rendah itu bertujuan menarik sokongan peminat bagi membangkitkan semangat KDN FC dalam aksi Liga Malaysia musim ini.
Tambahnya, selain itu sebanyak 5,000 unit kit edisi khas pelancaran turut dikeluarkan termasuk 1,500 yang akan diedarkan secara percuma kepada peserta perarakan pelancaran jersi rasmi terbabit.
“Bagi kit latihan KDN FC pula, ia akan mula dijual kepada orang ramai bermula esok di kedai PUC dan juga secara dalam talian.
“Terdapat tiga warna iaitu firus, biru dan merah dengan harga RM49 sehelai atau tiga helai RM100,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukry yang menaja jersi keseluruhan bernilai RM600,000 itu berkata, jersi jenama keluaran tempatan kini menjadi pilihan apabila kualitinya menyamai jersi Liga Perdana Inggeris.
“Jenama-jenama jersi dan kelengkapan sukan keluaran tempatan kini setanding jenama terkemuka dan berkelebihan dari segi harga yang mampu dimiliki.
“Jersi keluaran PUC sendiri memiliki kualiti yang sangat baik sehingga ada pihak cuba menciplaknya,” katanya.
Tambahnya, KDN FC akan memulakan saingan Liga Super 2024/2025 dijangka awal Mei ini dan menjadi satu-satunya pasukan yang akan mewakili Kelantan musim ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!