Sindiket tawar pinjaman jerat mangsa di musim perayaan
SHAH ALAM - Menjanjikan tawaran pinjaman dengan kadar faedah rendah selain kelulusan segera antara taktik digunakan sindiket penipuan pinjaman menjelang musim perayaan ketika ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik licik ini dikesan menyasarkan golongan yang menghadapi masalah kewangan.
Menurutnya, medium media sosial seperti platform Facebook, Whats App serta Telegram antara digunakan sindiket untuk memerangkap mangsa.
"Iklan dimuat naik berserta dengan pelbagai tawaran yang tidak masuk akal menerusi halaman Facebook serta aplikasi Whats App dan Telegram.
"Sindiket dikesan mengambil kesempatan dalam musim perayaan ini dengan menyasarkan mereka yang terdesak untuk menggunakan wang dengan kadar segera," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik yang digunakan sindiket ini kononnya dengan menyatakan pinjaman terbabit mudah untuk diperolehi.
"Kaedah berkenaan digunakan untuk menarik orang ramai untuk meminjam, ada kes direkodkan, pinjam RM1,000 tapi selepas ditolak dengan beberapa kos kononnya sebagai wang proses dan sebagainya, jadi yang tinggal kepada peminjam hanya sebanyak RM450.
"Bagaimanapun dengan caj dan kadar faedah tersembunyi dikenakan, kadar pinjaman RM1,000 boleh meningkat menjadi RM5,000 atau RM6,000," katanya.
Tambahnya, daripada apa yang berlaku ini diharapkan orang ramai dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan sindiket penipuan ini.
"Kalau lihat iklan berkaitan di media sosial, saya minta agar jangan sesekali mudah terpengaruh, sebaiknya elak lah awal-awal daripada menjadi mangsa.
"Jangan sesekali beri sebarang maklum balas sekiranya lihat ada iklan sedemikian, saya boleh beri jaminan, tawaran pinjaman begitu mudah itu jelas sekali menunjukkan bahawa ia sekadar satu perangkap," katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, kemungkinan faktor kewangan antara sebab ada yang terperangkap menjadi mangsa terutamanya melibatkan musim perayaan.
"Ada sesetengah kes yang mana mangsa dalam kesulitan nak beli kelengkapan atau keperluan raya, jadi nak ambil langkah mudah, mereka pinjam daripada sindiket ini.
"Bagaimanapun mereka tak tahu bahawa tindakan itu bukan satu jalan penyelesaian sebaliknya permulaan kepada masalah yang panjang," katanya.
Sementara itu, Ramli turut memberi peringatan kepada sindiket penipuan terbabit agar tidak berasa selamat dalam menjalankan kegiatan haram itu.
"Saya beri amaran bahawa sebarang kegiatan yang salah di sisi undang-undang, polis pasti ambil tindakan, termasuk mereka yang jalankan kegiatan penipuan pinjaman ini, mereka tak akan terlepas.
"Beberapa siri operasi sememangnya kita jalankan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab ini segera diheret ke muka pengadilan," jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!