Resolusi perangi Islamofobia di PBB dapat sokongan majoriti
NEW DELHI - Resolusi yang dibawa Pakistan bagi memerangai Islamofobia diterima Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) selepas mendapat sokongan majoriti.
Resolusi itu diterima pada Hari Antarabangsa bagi Memerangi Islamofobia pada Jumaat dengan 115 undi menyokong dan tiada undi menentang.
Perhimpunan Agung itu mengutuk perbuatan mengapi-apikan diskriminasi, kebencian atau keganasan terhadap umat Islam seperti yang ditunjukkan dalam insiden pembakaran kitab suci al-Quran, menyerang masjid, premis berkaitan Islam dan tindakan lain yang tidak bertoleransi terhadap agama.
"Penerimaan resolusi itu tepat pada masanya di tengah-tengah peningkatan Islamofobia," kata Kementerian Luar Pakistan pada Sabtu.
Resolusi itu dibentangkan dalam Perhimpunan 193 ahli itu oleh Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Terdapat 44 undi berkecuali pada perhimpunan itu antaranya dari Great Britain, India, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.
Perhimpunan itu juga menggesa pelantikan Perutusan Khas PBB bagi Memerangi Islamofobia.
Pada Jumaat di Geneva, Nassima Baghli, pemerhati tetap OIC berkata "Islamofobia sedang meningkat berikutan serangan Israel ke atas Gaza.”
Malaysia pula menggesa langkah kukuh diambil bagi menangani Islamofobia sambil mengalu-alukan pelantikan Perutusan Khas PBB bagi tujuan itu.
"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengenal pasti langkah-langkah kukuh dalam membanteras keadaan dan perlakuan semasa yang memupuk perbuatan-perbuatan keji ini,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!