Nelayan daftar SIMP bagi projek tambak laut capai 92.3 peratus
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Pendaftaran Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dalam kalangan nelayan yang layak setakat ini telah mencapai 92.3 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Farizan Darus berkata, jumlah itu termasuk 100 peratus pendaftaran dari unit Permatang Tepi Laut dan Gertak Sanggul serta 92.3 peratus dari unit Teluk Tempoyak.
Menurutnya, Jabatan Perikanan Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa 80 peratus iaitu 215 daripada 272 nelayan yang masih belum mendaftar untuk SIMP adalah tidak aktif atau tidak lagi layak.
"Unit-unit lain iaitu Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burong juga secara amnya telah mencatatkan lebih daripada 92 peratus pendaftaran kecuali unit Sungai Batu iaitu 54.2 peratus.
"Sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak tetapi masih belum mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran SIMP iaitu pada hujung bulan ini (31 Mac).
"Kadar pendaftaran yang tinggi itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan komuniti nelayan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menepati manfaat yang dijanjikan termasuk pembayaran ex-gratia, penyediaan bot dan enjin baharu, bantuan pendidikan, bangsal baharu, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan cadangan SIMP merangkumi pakej pemberian saguhati selain program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan dan skim perumahan.
Nelayan yang akan menerima manfaat tersebut terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap 1 adalah mereka dari kawasan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Bagi tahap 2 pula, mereka adalah dari Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong.
Tekong dan awak-awak dari unit tahap 1 masing-masing akan menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi tahap 2, akan menerima RM13,200 dan RM5,400.
Tekong tahap 1 akan ditawarkan bot sepanjang 8.2 meter dan enjin berkuasa kuda 90 atau 100.
Dalam pada itu, Farizan berkata, bagi mengatasi isu dataran lumpur, pihak pemaju projek komited untuk menyediakan saluran navigasi selebar 250 meter bagi membolehkan nelayan pergi ke laut tanpa mengira air pasang surut.
"Daripada segi kebimbangan mengenai dataran lumpur yang sekian lama wujud, garis pantai selatan dari segi sejarah adalah banyak berlumpur disebabkan oleh dataran lumpur antara pasang surut. Selain itu, sampah sarap sering dihanyutkan ke pantai selepas hujan lebat dan menghalang aktiviti nelayan semasa air surut.
"Tentang dakwaan pembuangan selut, aktiviti pengorekan belum dimulakan lagi dan hanya dijangka bermula pada tahun 2027 mengikut ketetapan yang digariskan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA)," jelasnya.
Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan, pemantauan kualiti air juga termasuk pemantauan masa nyata 24 jam bagi jumlah pepejal terampai (TSS) dan pemasangan tirai kelodak untuk menghalang penyebaran sedimen.
"Pemaju projek juga menghantar laporan kualiti air kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) setiap bulan sejak Oktober 2023. Sehingga kini, pihak kami tidak menerima sebarang pertanyaan daripada JAS mengenai laporan kualiti air yang dikemukakan.
"Ini menunjukkan bahawa laporan kami adalah memuaskan dan menepati syarat kelulusan. Perlu diingatkan juga bahawa nelayan tempatan biasanya menangkap ikan di kawasan yang terletak di luar tapak projek.
"Kami menerima maklumat ini daripada nelayan tempatan yang aktif dan mengesahkannya menggunakan imej satelit daripada perunding bebas yang merakam pergerakan bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang," katanya.
Farizan berkata, penemuan itu juga konsisten dengan data Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam menangani dakwaan penurunan hasil tangkapan akibat kerja-kerja penambakan sejak September 2023, pegawai kami dari Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) telah digerakkan segera untuk menjalankan sesi libat urus dengan nelayan secara langsung dan menjalankan tinjauan menyeluruh.
"Maklum balas yang dikumpul daripada nelayan aktif ini secara seragamnya menyangkal sebarang impak yang dapat dikenalpasti terhadap tangkapan mereka yang boleh dikaitkan dengan projek yang sedang berjalan," katanya lagi.
Ujar Farizan, Kerajaan Pulau Pinang tidak menafikan hakikat bahawa penambakan boleh memberi kesan kepada ekosistem.
"Inilah sebabnya Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) dan SIMP disediakan untuk meminimakan serta menambah baik keadaan alam sekitar dan mata pencarian nelayan," katanya lagi.
Farizan turut menyatakan kekecewaannya apabila beberapa media tertentu telah memilih untuk menyebarkan naratif sensasi tanpa pemahaman yang menyeluruh tentang konteks tempatan dan rancangan pembangunan mereka.
"Kami menggesa wartawan yang bertanggungjawab supaya melaporkan berita yang benar berdasarkan fakta dan pemahaman halus tentang cabaran dan aspirasi komuniti kami.
"Sekiranya media masih memutuskan untuk terus melaporkan perkara ini, kami menggalakkan mereka supaya menghubungi pasukan Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan melalui scsm@siliconisland.com.my untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat tepat," katanya.
Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.
Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!