Tahfiz TVET-KEDA lahirkan tenaga kerja berkemahiran
ALOR SETAR - Pembangunan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usahawan dan pemilikan rumah menjadi agenda Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam menyahut saranan kerajaan memperkasakan semula Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).
Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata, dalam memperkasakan program TVET, pihaknya akan terus membangunkan program Tahfiz TVET di Kolej KEDA yang terletak di Sik.
Menurutnya, penyelarasan program-program bagi penambahbaikan TVET akan dibangunkan melalui Kolej KEDA.
“Kerjasama strategik sedang diperkukuhkan bersama institusi awam, swasta dan pihak industri dalam membentuk sinergi pembangunan tenaga kerja berkemahiran.
“Kita beri tumpuan kepada tiga agenda tersebut menerusi program-program KEDA bagi mencapai matlamat KEB 2024,” katanya di sini pada Ahad, sempena Majlis Perjumpaan Pengurus Besar bersama warga KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA.
Ismasuhaimi berkata, program Tahfiz TVET yang dimulakan pada tahun 2022 amat berpotensi untuk dibangunkan dan dijangka akan terus mendapat permintaan tinggi.
“Sehingga kini, terdapat 72 pelajar Tahfiz TVET dengan kerjasama sembilan pusat tahfiz sekitar negeri ini,” katanya.
Tambahnya lagi, seramai 80 orang tahfiz dijangka akan memulakan pengajian TVET pada tahun ini menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM 175,000.
“KEDA menyambut baik usaha kerajaan perkasakan semula agenda ekonomi bumiputera dalam kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Selain TVET, sektor pembangunan usahawan juga akan terus diperkasakan tahun ini menerusi peruntukan sebanyak RM 2.8518 juta melibatkan tiga projek,” ujarnya.
Ismasuhaimi menjelaskan, antara perancangan ialah menyasarkan produk usahawan KEDA ke peringkat antarabangsa dengan membawa aspirasi ‘Desa to Global’, cetusan idea Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Menerusi agenda pemilikan rumah pula, jumlah keseluruhan geran yang telah diserahkan ialah 1,515 geran, dan dijangka serahan pada tahun ini sebanyak 348 geran,” katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!