Kehadiran buaya: Penduduk diminta jaga keselamatan guna sumber air sungai
PAPAR - Penduduk yang terpaksa mendapatkan sumber air sungai di sekitar daerah ini diminta agar lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan susulan kehadiran buaya di sungai tersebut.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan kekhuatirannya terhadap keselamatan penduduk memandangkan sungai di daerah ini juga menjadi tempat pembiakan haiwan reptilia tersebut.
"Kita tahu bahawa di Papar ini tempat pembiakan buaya cukup banyak dan dalam operasi kita laksanakan baru-baru ini hanya beberapa ekor yang dapat ditembak.
"Jadi saya berharap masyarakat berhati-hati ketika mandi atau mengambil air di sungai," katanya kepada pemberita ketika menghantar bekalan air kepada penduduk di Kampung Kuala pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas apabila ada dalam kalangan penduduk terpaksa mandi atau mendapatkan sumber air dari sungai susulan masalah air yang berpanjangan di daerah ini.
Bagi mengurangkan risiko keselamatan penduduk, beliau turut memberi fokus dalam mengenal pasti telaga sedia ada di daerah ini untuk dibaik pulih segera.
"Telaga yang ada seperti di Kampung Kuala ini kita boleh baik pulih serta merta sebagai alternatif.
"Saya amat khuatir dengan keselamatan mereka sekiranya penduduk ambil inisiatif terpaksa pergi ke sungai," katanya.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta untuk mengenal pasti telaga di kampung masing-masing jika masih ada sumber air yang boleh digunakan sementara menanti keadaan kembali stabil.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!