Stoking tertera kalimah ALLAH: Dr Akmal tempelak Setiausaha Agung MCA
SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon susulan kenyataannya yang meminta beliau tidak memperbesarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH SWT.
Menurut Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Merlimau itu, beliau tidak berganjak dengan pendiriannya sebelum ini kerana insiden itu memberi kesan besar kepada umat Islam.
"Mungkin isu ini kecil bagi kamu, tetapi bukan bagi kami. Yang dipersendakan adalah agama kami bukan kamu.
"Jika bab kamu pandai pula kamu pertahankan, bila bab kami kamu anggap perkara ini remeh. Shame on you," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) tampil memohon maaf susulan terdapat penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di beberapa premisnya.
Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.
Susulan tularnya penjualan stoking berkenaan, pelbagai pihak tampil mengecam kedai serbaneka itu termasuk wujud usaha untuk memboikotnya.
Dalam pada itu, Dr Akmal meminta umat Islam bersatu melangkaui fahaman politik demi ummah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!