Trend kandungan video bercakap dalam dialek makin popular
SHAH ALAM - Sejak kebelakangan ini, trend penghasilan kandungan video dalam dialek-dialek negeri semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kebanjiran video tersebut khususnya di platform aplikasi TikTok menunjukkan, betapa setiap dialek atau loghat di negara ini memikat hati dengan cara pertuturan dan keindahan bahasanya.
Misalnya, perkongsian kandungan video dialek Kedah yang menarik perhatian ramai di media sosial.
"Kami orang Kedah, kami tak kata seronok, kami kata syok, kami tak kata kotor, kami kata belemoih," demikian petikan dari video yang tular di TikTok.
Dalam pada itu dialek Perak pula, menyatakan bahawa panggilan air bahasa baku disebut sebagai ayor dalam loghat negeri tersebut.
"Kami orang Perak, kami tak panggil air, kami panggil ayor...cer bak ayor itu sikit nak minum," demikian antara sedutan petikan video yang dipetik di media sosial.
Begitu juga loghat negeri-negeri lain yang semakin mendapat perhatian ramai, malah jika diperhatikan semakin ramai yang tertarik mahu belajar dan mengetahui loghat-loghat negeri lain.
Pakar Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, mengulas perkembangan ini dengan menjelaskan bahawa setiap individu dilahirkan dengan dialek asal masing-masing, bergantung pada asal usul mereka.
Jelasnya, dialek merupakan bahagian penting dalam identiti bahasa seseorang.
"Orang Melayu biasanya menggunakan dialek ini di rumah, di pasar, di kedai kopi, tetapi di sekolah mereka terdedah kepada bahasa baku.
"Mereka belajar membezakan antara dialek dan bahasa standard melalui radio dan televisyen," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa orang Melayu biasanya mahir menggunakan dialek dan bahasa baku mengikut konteks dan lokasi di mana mereka berada.
"Penggunaan dialek juga merupakan satu ciri kemesraan dan memudahkan komunikasi sesama mereka.
"Apabila bertemu dengan orang yang sama dialek, kita cenderung untuk menggunakan dialek tersebut. Sebagai contoh, saya selalu bercakap dalam loghat Kelantan apabila bertemu dengan orang Kelantan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!