Diuji mata buta 'dirempuh' haiwan terbang
PASIR MAS - Seorang lelaki di Kampung Kubang Panjang di sini terpaksa bergantung kepada ibu bapa dan isterinya sejak dua tahun lalu selepas kedua-dua matanya buta akibat 'dirempuh' seekor haiwan yang terbang ketika menunggang motosikal.
Mohd Razi Ibrahim, 36, yang mengalami kecacatan kekal berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam pada Mac 2022 itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah syarikat di Kota Bharu.
"Sebaik tiba di satu lokasi di Kampung Salor, secara tiba-tiba mata kiri saya terasa seperti 'dirempuh' oleh seekor haiwan yang sedang terbang.
"Saya tidak pasti sama ada kelawar atau burung kerana menunggang motosikal pada waktu malam tetapi mata tidak berdarah," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan pada Program Ramadan Relief Serantau bersama Maybank Islamic anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) yang disampaikan oleh Presiden IAM, Zawahir Abdullah di Masjid Mukim Kubang Panjang di sini baru-baru ini.
Bapa kepada seorang anak berusia lima tahun itu memberitahu, selepas kejadian tersebut, matanya terasa amat sakit, manakala saraf di bahagian itu membengkak dan kemerahan.
Katanya, keadaannya semakin buruk apabila kesakitan itu merebak ke mata kanan.
"Doktor berusaha dengan melakukan pembedahan pada Julai tahun lalu tetapi keadaan mata saya sudah serius dan tidak dapat diselamatkan," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia reda diuji dengan keadaan itu walaupun pada mulanya sukar untuk bergerak.
Anak ke-10 daripada 12 beradik itu kini tinggal bersama ibu bapanya yang sudah uzur, Mek Embun Deraman, 75, dan Ibrahim Abdul Rahman, 84.
Dia bersyukur kerana isterinya, Nastasya Farahanin Hassan, 30, banyak membantu walaupun keadaan kesihatan wanita itu tidak memuaskan kerana sering diserang asma selain sedang mengandungkan anak kedua mereka.
Mohd Razi berkata, dia turut bersyukur kerana adik-beradik membantu meringankan beban keluarganya.
Katanya, persiapan Ramadan tahun ini dibuat ala kadar kerana dia tidak mampu bekerja dan bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Bagaimanapun katanya, Program Ramadan Relief Serantau bersama Maybank Islamic anjuran IAM banyak membantunya menjimatkan belanja ketika Ramadan.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300 7410 0011 9882 atas nama Mohd Razi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!