Model baharu Volkswagen Passat Elegance kini berada di pasaran Malaysia
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan model baharu Passat, 2.0TSI Elegance, di Malaysia, empat bulan selepas pelancarannya di pasaran Jerman pada September lalu.
VPCM dalam satu kenyataan hari ini berkata, model baharu Passat itu menampilkan ciri reka bentuk semula dalaman dan luaran yang lengkap, ciri yang ditambah baik dan lampu yang dikemas kini.
Berada dalam kelasnya yang tersendiri, Passat baharu itu dikuasakan dengan enjin 2.0TSI yang dipertingkatkan dan menjadi model Volkswagen pacuan roda hadapan pertama di Malaysia yang memiliki kotak gear dwi-kelajuan.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, Passat adalah model ikon dan menjadi pilihan para eksekutif di seluruh dunia.
Beliau berkata, model itu yang telah terjual lebih daripada 30 juta unit setakat ini berada di kedudukan kedua di belakang model ikonik Golf sebagai satu daripada model Volkswagen yang paling berjaya.
“Ciri-ciri baharu Passat itu bukan hanya kemas kini teknikal tetapi juga reka bentuk semula dalaman dan luaran, ciri kesalinghubungan yang ditambah baik dan ciri lampu yang dikemas kini.
"Penambahbaikan ini dilakukan tanpa sebarang kompromi ke atas prestasinya. Kami percaya inilah apa yang dicari oleh pelanggan hari ini,” katanya.
Passat kali pertama diperkenalkan di Malaysia pada 2006 menerusi kerjasama antara Volkswagen AG dan DRB-Hicom dan ketika ini ia telah memasuki generasi kelapannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!