Selamatkan wang rakyat atau Sukan Komanwel?

Imbas kembali... Perarakan kontinjen Malaysia semasa upacara perasmian pembukaan temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Imbas kembali... Perarakan kontinjen Malaysia semasa upacara perasmian pembukaan temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
A
A
A

SEJAK lebih seminggu lalu, pelbagai reaksi diberikan penggiat, pemerhati mahupun peminat sukan tanah air selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia membincangkan kesediaan Malaysia menjadi hos Sukan Komanwel 2026.

Ia susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memaklumkan pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran temasya itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri sebelum membuat sebarang keputusan.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut ditanya pemberita berkenaan tawaran 'sekali dalam seumur hidup itu' dalam sidang akhbar ketika akhir lawatan enam hari beliau ke Jerman pada Sabtu lalu.

Mengakui sedar terdapat pelbagai pandangan mengenai tawaran tersebut, Anwar berkata, ia harus dilihat dari pelbagai sudut, selain mengambil kira semua aspek pro dan kontra sebelum pihak kerajaan membuat keputusan.

Sekalipun masih belum mendapat 'lampu hijau' daripada Kabinet, pelbagai reaksi sudah diberikan. Ada juga pihak yang mula membangkitkan soal peruntukan, penajaan, tempoh masa yang singkat, fasiliti dan persiapan atlet.

Berbanding pihak yang menyokong, difahamkan lebih ramai tidak bersetuju Malaysia kembali menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas kali terakhir menjadi temasya sukan empat tahun sekali itu pada 1998 dikenali Sukan Komanwel 1998 (Sukom 98).

Bagi mereka, ini bukanlah masa yang sesuai untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 memandangkan temasya itu hanya akan berlangsung kira-kira dua tahun lagi, sekali gus bakal memberi tekanan kepada Malaysia dari segi kewangan dan fasiliti.

Bak kata Pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad, Jeneral (B) Tun Mohamed Hashim Mohd Ali, Malaysia tidak berada pada 'kedudukan terbaik' untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 jika hendak dibandingkan ketika Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998.

Artikel Berkaitan:

Memang benar tempoh berbaki kira-kira dua tahun terlalu singkat untuk melakukan persiapan dalam segala hal, sekali gus ia dibimbangi akan memberi impak negatif kepada imej Malaysia selepas kejayaan bersejarah penganjuran Sukom 98.

Malah, Malaysia juga diharap tidak menjadi 'Pak Sanggup' atau 'Pak Turut' bagi menggantikan Victoria,sebuah negeri di Australia hanya disebabkan suntikan dana sebanyak £100 juta (kira-kira RM602 juta) daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).

Mengapa kita perlu menjadi hero atau penyelamat jika pada pengakhirannya nanti ia akan menjerut leher sendiri?

Jika Victoria yang sudah dipilih menjadi tuan rumah edisi 2026 terpaksa menarik diri pada Julai tahun lalu disebabkan peningkatan kos penganjuran, apa pula akan berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang?

Secara matematiknya, sudah tentu kos akan meningkat. Jika Victoria mengunjurkan kos penganjuran meningkat AUD7 bilion (RM21.78 bilion) daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion), skrip hampir sama juga akan berlaku jika Malaysia menjadi tuan rumah.

Sekalipun CGF memberi tawaran yang ada sesetengah pihak menganggapnya umpama 'pucuk dicita ulam mendatang' termasuk dana RM602 juta, tetapi ikutkan sebenarnya ia tidak mencukupi kerana kos menganjurkan Sukan Komanwel dijangka mencecah berbilion ringgit!

Buat Kabinet yang dijangka membuat keputusan dalam masa terdekat, fikirlah semasak-masaknya. Dengan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, ini bukan masa sesuai Malaysia mengggantikan tempat Victoria.

Daripada mahu selamatkan Sukan Komanwel, lebih baik selamatkan wang rakyat atau setidak-tidaknya selamatkan dahulu sukan Malaysia yang agak suram sejak kebelakangan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!