Kelab penyokong yakin kredibiliti Nidzam
PELANTIKAN Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih Selangor FC disifatkan sebagai pemilihan yang tepat kerana beliau merupakan seorang pengendali yang berkaliber dan berpengalaman untuk memacu kegemilangan skuad Gergasi Merah.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid juga percaya kredibiliti Nidzam mampu membantu Selangor memberi tentangan sengit dalam kancah Liga Malaysia musim 2024/25 dan pentas Asia.
Beliau berkata, Nidzam juga dilihat sudah serasi dengan para pemain kerana telah bersama mereka lebih tiga tahun sekali gus berupaya membentuk persefahaman dan keserasian yang ampuh.
Malah tambahnya, pemilihan para pemain bagi musim ini juga dibuat oleh Nidzam bersama bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe yang memberi isyarat bahawa mereka mampu bekerjasama dengan baik sebagai satu pasukan.
“Nidzam seorang jurulatih yang berkaliber dan berpengalaman kerana pernah membantu mendiang B Sathianthan bersama Felda United pada satu ketika dahulu.
“Saya juga jangka Nidzam tiada masalah untuk membentuk kerjasam erat dengan pemain kerana pemilihan skuad dibuat bersama dengan Cheng Hoe.
"Kelab penyokong percaya dengan kredibiliti Nidzam mampu membawa Selangor memberi tentangan kuat buat lawan dalam saingan domestik dan pentas Asia.
“Nidzam juga ada sentuhan tersendiri dan saya yakin dia mampu beri yang terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
SFC pada Sabtu mengumumkan Nidzam yang sebelum ini sebagai penolong jurulatih dinaikkan pangkat selaku pengendali pasukan Gergasi merah untuk saingan liga musim ini.
Mohd Faizal juga melihat pemilihan jurulatih import untuk memegang jawatan panas itu mungkin menyukarkan pengendali itu untuk menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada.
“Jurulatih import mungkin mahu pemain pilihan sendiri dan ia mengambil masa. Jadi saya lihat pelantikan Nidzam sebagai pilihan yang tepat untuk melatih Selangor,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pemilihan Nidzam telah dibuat secara menyeluruh mengambil kira pengalamannya selain dia memahami dengan baik hala tuju pasukan itu.
Sebelum ini, Selangor FC mengumumkan kejutan apabila mengesahkan kelab itu dan pengendali, Tan Cheng Hoe mencapai persetujuan bersama untuk penamatan kontrak berkuat kuasa serta-merta.
Cheng Hoe yang mengemudi pasukan gergasi Lembah Klang itu sejak 2022 meninggalkan Selangor FC bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di kelab Thailand, Police Tero.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!