Piala FA: Manchester United tunjuk Liverpool jalan keluar
GERGASI liga Inggeris, Manchester United mengakhiri misi quadruple Liverpool di bawah musim terakhir bersama Jurgen Klopp selepas menyingkirkan seteru tradisi itu 4-3 dalam perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Old Trafford.
Dua gol dalam tempoh tiga minit dijelmakan Alexis Mac Allister (m-44) dan Mohamed Salah (m-47) menjelang penghujung separuh masa pertama memihak kepada Liverpool selepas Scott McTominay (m-10) membuka tirai jaringan tuan rumah.
Antony kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi jaringan minit ke-87 yang merupakan gol pertama di Old Trafford selepas lebih setahun bagi memastikan United terus hidup untuk menghantar perlawanan ke masa tambahan.
Liverpool sekali lagi di hadapan apabila rembatan Harvey Elliott minit ke-105 menewaskan Andre Onana untuk kembali memimpin perlawanan.
Namun anak buah Erik ten Hag yang tidak berputus asa meledak dua lagi gol hasil jaringan Marcus Rashford (m-112) diikuti Amad Diallo (m-122) sebelum pemain Ivory Coast itu dilayangkan kad merah minit ke-123 selepas menanggalkan jersi ketika meraikan jaringan.
Kemenangan ke atas Liverpool berjaya mengurangkan tekanan ke atas Ten Hag berikutan prestasi tidak menentu Manchester United musim ini.
Saingan liga menyaksikan Manchester United mengekori Liverpool dengan 17 mata dan setelah tersingkir awal daripada kedua-dua Liga Juara-Juara dan Piala Liga, tekanan diberikan kepada Ten Hag jika dia mahu kekal sebagai pengendali di Old Trafford untuk musim ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!