Mindef tidak lengahkan pelantikan Pengerusi, Ketua Eksekutif LTAT

Mohamed Khaled diiringi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan sumbangan kebajikan kepada anggota TLDM, Amirul Amir Hamja (dua dari kiri) dan anaknya, Izz Haikal Amirul, satu tahun enam bulan yang mengidap saluran darah ke paru-paru terlebih pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga TLDM di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Johor Bahru pada Ahad. Foto Bernama
Mohamed Khaled diiringi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan sumbangan kebajikan kepada anggota TLDM, Amirul Amir Hamja (dua dari kiri) dan anaknya, Izz Haikal Amirul, satu tahun enam bulan yang mengidap saluran darah ke paru-paru terlebih pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga TLDM di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Johor Bahru pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Pertahanan (Mindef) masih mencari pengganti yang sesuai untuk jawatan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selepas dikosongkan baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses itu mengambil masa kerana mahukan mereka yang benar-benar layak menggantikan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.

"Bila kita ada calon sesuai (mengisi jawatan berkenaan akan diumumkan). Tiada niat untuk sengaja memanjangkan atau melengahkan tempoh pelantikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Berbuka Puasa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Johor Bahru, Permas Jaya di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin dan Panglima Pasukan Simpanan TLDM, Laksamana Pertama Azeman Yusoff.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan LTAT mengumumkan peletakan jawatan serta-merta Ahmad Nazim, hanya lebih sebulan selepas laporan penstrukturan semula yang dirancang telah ditangguhkan berikutan pertukaran tampuk pimpinan Kementerian Pertahanan.

Sementara pada 9 Februari lalu pula, Mohamed Affandi meletakkan jawatan selepas dilantik menjadi Pengerusi LTAT pada 3 Ogos 2021, menggantikan Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kerajaan terbaik dalam aspek penjagaan kebajikan dan kesejahteraan pegawai dan anggota tentera.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini, kerajaan memperuntukkan bajet penyelenggaraan sebanyak RM400 juta, terbesar jika dibandingkan dengan peruntukan sebelum ini.

"Kebiasaannya peruntukan diberi sekitar RM100 juta.

"Kerajaan ini memberi perhatian kepada kebajikan anggota-anggota tentera termasuk TLDM.

"Penyelenggaraan untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) TLDM menerima peruntukan berjumlah RM69 juta," jelasnya.

Tambahnya, ini merupakan cerminan kepada kerajaan semasa yang komited dalam memberikan perhatian kepada kebajikan bukan sahaja anggota, tetapi juga ahli keluarga mereka.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!